suria

Rasuah: PPS Tiada Kuasa Hukum Individu Dalam Persatuan Sukan

KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan sebarang hukuman terhadap individu dalam sesuatu persatuan sukan yang terbabit dalam isu rasuah.

Pesuruhjaya Sukan, Datuk Mohd Yassin Mohd Salleh sebaliknya berkata hanya persatuan yang berhak berbuat demikian dan PPS bertanggungjawab memantau pengurusan persatuan sukan serta memastikan ia mengikut perlembagaan yang ditetapkan.

"Tindakan akan diambil oleh pihak persatuan itu sendiri. PPS lebih lihat dari aspek urus tadbir, iaitu memastikan setiap pengurusan persatuan mengikut perlembagaan yang telah mereka (persatuan) tetapkan. "Isu rasuah yang melibatkan PABM (Persatuan Angkat Berat Malaysia) masih dalam siasatan dan kita tidak boleh buat apa-apa. Kita tidak boleh membuat andaian terhadap seseorang sama ada individu itu bersalah atau tidak dan perlu tunggu hasil laporan itu nanti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ekspo Pameran Perdagangan Sukan dan Golf 2012 di Seri Kembangan di sini, Jumaat.

Ekspo kali ketiga yang berlangsung di Mines Exhibition Centre (MIECC) itu dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Mohd Yassin menjelaskan sekiranya terdapat mana-mana individu dalam persatuan yang didapati bersalah, pihaknya perlu terlebih dahulu mendapatkan penjelasan serta akan memberikan nasihat sewajarnya.

"Tugas penting PPS adalah mendaftar persatuan, memantau perjalanan pengurusan persatuan dan menggantung atau membatal persatuan jika mereka didapati bersalah," katanya.

Mengulas lanjut mengenai rasuah melibatkan PABM, Ahmad Shabery berkata kementerian masih menunggu laporan penuh daripada PPS dan pemantauan terus dilakukan bagi memastikan pembangunan sukan setiap persatuan tidak terjejas.

Sebelum ini dilaporkan, PABM didakwa menyalahgunakan dana kos latihan atlet di China sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Indonesia pada November tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain