suria

Rasuah: PABM Sedia Beri Kerjasama Kepada SPRM

KUALA LUMPUR: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM)bersedia bekerjasama dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyalahgunaan kos latihan atlet ke China oleh badan induk angkat berat negara itu, pada Jun tahun lepas.

Presiden PABM Zafarul Akhbar Kassim berkata beliau bersedia memberi keterangan kepada SPRM sekiranya dipanggil dalam masa terdekat demi menjaga imej persatuan serta sukan angkat berat negara.

"Memang benar SPRM telah memulakan siasatan berhubung kes itu, namun saya tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut memandangkan siasatan sedang dijalankan dan adalah tidak sesuai jika kita mendahului mereka.

"Apa yang saya boleh katakan, tiga individu telah dipanggil SPRM minggu lepas iaitu (dua atlet angkat berat negara) Amirul Hamizan Ibrahim dan Zulkifli Che Ros serta ketua jurulatih angkat berat negara Lin Xin Hui," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Sebuah stesen televisyen berbayar baru-baru ini melaporkan mengenai pendedahan beberapa individu yang mendakwa PABM telah menyalahgunakan dana kos latihan atlet di China sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Indonesia pada November tahun lepas.

Zafarul yang memegang jawatan Presiden PABM sejak 2010, berkata kes berkenaan sengaja diperbesarkan oleh sesetengah individu dalam persatuan berkenaan memandangkan mesyuarat agung tahunan (AGM) PABM akan diadakan hujung tahun ini.

"Saya tidak kisah jika tidak dipilih pada pemilihan akan datang, cuma apa yang saya minta jika mana-mana anggota gabungan PABM yang tidak berpuas hati dengan persatuan, mereka boleh merujuk kepada saya atau exco PABM. "Adalah tidak wajar untuk mereka menghebahkan perkara berkenaan kepada media sebelum mendapat kebenaran persatuan," katanya.

Beliau berkata PABM boleh mengambil tindakan memecat atau menggantung anggota gabungannya yang didapati membuat kenyataan media tanpa kebenaran sebagaimana termaktub dalam Perkara 7.2 Perlembagaan PABM.

"Berdasarkan perlembagaan kita, hanya Presiden, Setiausaha Kehormat dan Setiausaha Eksekutif yang boleh membuat kenyataan media," katanya.

Zafarul berkata beliau akan mengadakan sidang media dalam tempoh terdekat untuk memperjelaskan isu berkenaan bagi memastikan latihan atlet angkat berat negara tidak terjejas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain