suria

Penggiat MotoGP Beri Penghormatan Kepada Simoncelli Di Litar Sepang

SEPANG: Kalangan penggiat Grand Prix Motosikal (MotoGP) pada Khamis memberi penghormatan kepada Marco Simoncelli, yang kehilangan nyawa dalam satu kemalangan di Litar Sepang tahun lepas.

Upacara penuh kesayuan ini bermula di garaj pasukan San Carlo Honda Gresini, pasukan yang diwakili Simoncelli tahun lepas, apabila anggota pasukan, penunggang dan pegawainya berjalan beramai-ramai ke Turn 11 di litar berkenaan.

Dalam kemalangan itu, Simoncelli terjatuh dan melungsur di litar tersebut sebelum dirempuh penunggang Monster Yamaha Tech 3 Colin Edwards dan penunggang Ducati Team Valentino Rossi di Turn-11.

Kematian penunggang berusia 24 tahun ini disahkan berpunca daripada kecederaan toraks dan abdomen.

Berikutan kemalangan itu, perlumbaan segera dihentikan dan dibatal terus.

Sementara itu, bagi memperingati pemergian Simoncelli, pemilik pasukan San Carlo Honda Gresini, Fausto Gresini, meletakkan sekeping plak di Turn 11.

Upacara peletakan plak itu diikuti tafakur oleh mereka yang hadir sebagai tanda memperingati pemergian Simoncelli.

Kemudian, anggota pasukan San Carlo Honda Gresini dan anggota pasukan yang mengambil bahagian, menghadap plak berkenaan untuk memberi penghormatan masing-masing kepada penunggang hebat tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain