suria

PBSNT Tutup Pintu Kapten Terengganu Hijrah Ke T-Team

KUALA TERENGGANU: Ketua pasukan Terengganu Marzuki Yusof boleh melupakan hasrat untuk berhijrah ke pasukan kelab T-Team pada saingan Liga Super musim depan.

Ini berikutan pendirian Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) bahawa pemain yang masih mempunyai kontrak tidak digalakkan keluar tanpa berunding dengan persatuan itu.

Presidennya Datuk Che Mat Jusoh menegaskan kontrak Marzuki bersama persatuan itu akan hanya berakhir pada tahun depan.

"Kita tetap berpegang kepada perjanjian, tidak kira siapa sahaja termasuk Marzuki," katanya sebagai mengulas hasrat pemain pertahanan tersebut untuk berhijrah ke pasukan T-Team.

Beliau berkata sepatutnya perkara itu tidak berbangkit sekiranya pemain patuh kepada kontrak yang telah ditandatanganinya.

Dalam kes pemain berusia 31 tahun itu, Che Mat menegaskan pihaknya tidak tidak perlu mengadakan sebarang perbincangan dengan pemain berkenaan.

Katanya apa yang penting sekarang adalah semua pemain perlu memberikan perhatian kepada persediaan menghadapi musim Liga Super tahun depan.

Marzuki merupakan pemain setia skuad Penyu sejak mula menyarung jersi pasukan negeri itu sejak 2001 dan membantu Terengganu merangkul Piala Malaysia pada tahun itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain