suria

Pemain Tidak Harap Ganjaran Lumayan - Panglima ATM

KUALA LUMPUR: Skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mengharapkan ganjaran lumayan dalam misi menjulang Piala Malaysia buat pertama kalinya, kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Sebaliknya, Zulkifeli, yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera (PBAT), berkata pemain perlu lebih fokus mengejar impian lebih besar daripada ganjaran selepas berjaya menamatkan penantian selama 46 tahun melangkah ke final, Sabtu ini.

Kali terakhir ATM layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia ialah pada 1966 namun tumpas 0-1 kepada Selangor.

"Matlamat terakhir kita musim ini adalah melakar sejarah sendiri iaitu menjadi juara Piala Malaysia menumpaskan Kelantan pada perlawanan akhir nanti. Kita tidak menjanjikan jumlah ganjaran, namun pemain akan menerima habuan yang setimpal dengan usaha mereka.

"Hanya pemain yang tahu bentuk ganjaran yang bakal diterima mereka," katanya kepada pemberita selepas bersama skuad ATM menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara, pada Rabu.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zulkifeli berkata, beliau menjunjung kasih kepada Tuanku Abdul Halim, yang merupakan Pemerintah Tertinggi ATM, kerana berkenan menerima kunjungan 16 pegawai dan 27 pemain pasukan ATM.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan setiap pemain The Red Warriors akan diberikan ganjaran satu lot tanah jika berjaya menjulang Piala Malaysia.

Setiap lot tanah tersebut bernilai antara RM60,000 hingga RM80,000 dengan kos keseluruhan berjumlah hampir RM2 juta.

Jurulatih ATM B. Sathianathan juga percaya anak didiknya tidak terlalu memikirkan soal ganjaran kerana apa yang penting adalah untuk memburu kejuaraan sulung mereka pada piala berprestij itu.

"Fokus kita dalam baki tiga hari sebelum perlawanan akhir adalah memperbaiki kelemahan yang ada termasuk persediaan dari segi mental kerana bukan mudah mengalahkan pasukan kuat seperti Kelantan," katanya.

Sementara itu, penyerang ATM Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak melahirkan rasa bertuah kerana dapat menghadap Yang di-Pertuan Agong dan berharap 'limpah kurnia dan perkenan' daripada baginda, ATM mampu muncul juara Piala Malaysia musim ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain