suria

Kelantan Hampiri Gelaran Treble Musim Ini

SHAH ALAM: Kelantan semakin menghampiri gelaran treble musim ini dengan mara ke final Piala Malaysia 20 Oktober ini selepas menewaskan Selangor dengan agregat 3-0 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam di sini.

Skuad bimbingan Bojak Hodak itu mencatatkan kemenangan selesa 2-0 malam ini ke atas skuad Gergasi Merah hasil jaringan Mohamed Ghaddar Mahmoud pada minit ke-85 dan pemain gantian Mohd Badri Mohd Radzi pada minit ke-94.

Terdahulu, mereka menundukkan Selangor dengan keputusan 1-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu hasil jaringan pemain tengah, Mohd Norfarhan Muhammad pada Sabtu lepas.

Kelantan sebelum ini muncul juara Liga Super selain menjuarai Piala FA buat kali pertama selepas menewaskan pasukan kelab, Sime Darby, 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 Mei lepas.

Pada perlawanan ini, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebaik sahaja pengadil perlawanan, Mohd Amirul Izwan Yaacob meniupkan wisel permainan namun digagalkan oleh kekentalan benteng pertahanan masing-masing. Bersambung separuh masa kedua, kedua-dua pasukan memperkemaskan jentera serangan bagi mendapatkan gol pendahuluan sebelum Mohamed Ghaddar membuka tirai jaringan.

Mohd Badri muncul wira skuad The Red Warriors dengan jaringan kedua untuk memastikan mereka layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali kelima dalam sejarah penyertaan mereka.

Penyerang import Selangor dari Croatia, Bosko Balaban sebelum itu menerima kad merah pada minit ke-87 kerana mengasari pemain lawan.

Kemenangan tersebut membolehkan mereka bertemu juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada final. Sebagai rekod, Kelantan hanya menjulang trofi Piala Malaysia pada 2010 menerusi kemenangan tipis 2-1 ke atas juara bertahan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kelantan sebelum itu muncul naib juara sebanyak tiga kali iaitu pada 1955, 1970 dan 2009.

Barisan pemain:

SELANGOR: Norazlan Razali, Mohd Razman Roslan, Ramez Dayoub, K. Solihin Adib Aizuddin Abdul Latif, Safiq Rahim (kapten), Mohd Bunyamin Umar, Mohd Amri Yahyah, Mohd Rozaimi Abdul Rahman (Azidan Sarudin), S.Vanood, Bosko Balaban.

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Obinna Nwaneri, Nik Mohd Shahrul Azim, S. Subramaniam, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Shakir Shaari, Mohd Norfarhan Muhammad, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Nurul Azwan Roya (Mohd Badhri Mohd Radzi), Norshahrul Idlan Talaha, Mohamed Ghaddar Mahmoud.

-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain