suria

Ragbi 10s: COBRA Akui Saingan Semakin Sengit

PETALING JAYA: Pasukan Combine Boy's Rugby Association (COBRA) mengakui saingan Kejohanan HSBC-COBRA 10 Sebelah pada 10 dan 11 November ini bakal menjadi medan pertarungan sengit untuk merebut gelaran juara.

Pengurus pasukan COBRA, Boon Hoon Chee berkata, setiap pasukan yang datang pada kejohanan ini mempunyai misi serius untuk menang.

"Dengan 16 pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan bersaing untuk mara ke pusingan seterusnya, dan aksi peringkat kumpulan dijangka lebih sengit kerana masing-masing mahu mencatat kemenangan.

"Pasukan dari Malaysia menghantar empat pasukan dan akan mewakili setiap kumpulan.

"Bagi pasukan COBRA, seperti tahun-tahun sebelum ini, dua orang bekas pemain All Blacks, Duncan Robertson dan Jeff Matheson akan memimpin pasukan ini.

"Manakala dari segi pemain pula, COBRA dibarisi oleh sepuluh orang pemain antarabangsa termasuk tiga orang dari Fiji, serta lima orang pemain tempatan iaiatu Mohd Syahir Asraff, Mohamad Nazeer Mohamed Nesharah, Mohd Saizul Hafiz, Dineshvaran a/l Krisnan dan Mohd Amin Jamaluddin.

"Kelima-kelima pemain tempatan ini sedang beraksi pada Kejohanan Asia 7s di Mumbai," jelasnya selepas sidang media kejohanan kali ke-43 ini.

Tiga lagi pasukan tempatan yang turut menyertai kejohanan ini termasuki ASAS RC, NS Wanderers dan Sabah Borneo Eagle.

Kali terakhir COBRA menjulang trofi kejohanan ialah pada tahun 2008 dan selepas itu mereka terkandas pada aksi final sebanyak tiga kali.

Hoon Chee berkata, juara bertahan (United Kingdom) sekali lagi hadir untuk mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan pasukan COBRA dengan 12-10 pada final tahun lalu.

"Selain itu pasukan dari China, New Zealand, Kenya dan beberapa lagi nama besar bakal menjadikan peluang untuk meraih trofi tahun ini lebih terbuka," tambahnya.

Sementara itu, HSBC terus mencatat sebagai penaja utama kejohanan ini dengan nilai RM250,000.

"Hubungan HSBC dengan COBRA telah lama dijalinkan. Dan tahun ini juga kami berbangga untuk terus menjadi penaja utama kejohanan yang akan berlangsung bulan depan.

"Kejohanan HSBC-COBRA 10s ini penting untuk jangka masa panjang bagi membantu perkembangan sukan ragbi hingga ke peringkat tertinggi.

"Kami telah menaja kejohanan ini sejak 2005 dan turut membantu menyokong pembangunan di setiap peringkat," jelas Pengarah Urusan Bank HSBC Malaysia Berhad, Roni Abdul Wahab.

Dalam pada itu, HSBC juga menjadi penaja utama bagi Kejohanan Asian Seven Series, HSBC Asian Five Nations serta Kelab Kejurulatihan Peguins International.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain