suria

Terbuka AS: Nicol Tempah Tiket Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Juara dunia enam kali, Datuk Nicol Ann David menebus kekalahannya di tangan pemain England Alison Waters pada Selasa dengan menumpaskan pemain itu untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Terbuka Amerika 2012.

Pada permainan separuh pertama peringkat suku akhir di gelanggang kaca Daskalakis Athletic Centre, Drexel University di Philadelphia, pemain nombor satu dunia berusia 29 tahun itu mengambil masa 41 minit untuk mengetepikan Alison dengan mata 11-5, 11-7 dan 11-9.

"Dia bermain dengan penuh yakin setelah mengalahkan saya minggu lepas...Jadi, saya sedar saya perlu memulakan permainan dengan cukup mantap dan merebut setiap mata untuk menyekatnya daripada berasa dia boleh mengatasi saya sekali lagi.

"Saya rasa saya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang lebih cepat daripadanya, tapi pada set ketiga, dia menemui sentuhan lebih meyakinkan dan berasa lebih selesa, persaingan begitu sengit dan saya sungguh gembira apabila berjaya menyelesaikan perlawanan dalam tiga set," kata Nicol seperti yang dipetik laman web rasmi kejohanan tersebut www.usopensquash.com.

Alison mengalahkan Nicol pada perlawanan suku akhir Terbuka Carol Weymuller di New York pada 28 Sept.

Nicol, yang berazam meraih gelaran juara Terbuka Amerika yang belum pernah disandangnya berkata: "Harap-harap ini akan membakar semangat saya untuk menghadapi lalauan seterusnya pada kejohanan ini."

Beliau akan bertarung dengan pemain New Zealand Joelle King, yang mara ke separuh akhir setelah mengalahkan pemain pilihan ketiga Jenny Duncalf dari England.

Pada perlawanan itu, Joelle mengambil masa 42 minit untuk menang 8-11, 11-4, 11-3, 8-11 dan 11-5.

Perlawanan peringkat separuh akhir akan berlangsung pada 11 Okt.

Sementara itu, pusingan kedua bagi kategori wanita melibatkan perlawanan antara Madeline Perry (Ireland) dan Laura Massaro (England) dan Kasey Brown (Australia) menentang Raneem El Weleily (Mesir), berlangsung hari ini (10 Okt).-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain