suria

Stadium Shah Alam Dipilih Venue Perlawanan Akhir Piala Malaysia

KUALA LUMPUR: Stadium Shah Alam sekali lagi dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 pada 20 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Amin berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira keadaan rumput dan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil yang tidak mengizinkan perlawanan itu diadakan di situ.

"Keadaan rumput yang masih baru dan permukaan padang yang tidak rata boleh mengundang risiko kecederaan kepada pemain. "Setelah mengambil kira faktor tersebut dan nasihat daripadajurutera Perbadanan Stadium Negara, kita membuat keputusan mengubah venue perlawanan akhir Piala Malaysia ke Stadium Shah Alam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas ke-20 JKPT, FAM di sini, Isnin.

Pada tahun lepas, Stadium Shah Alam dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala Malaysia menggantikan Stadium Nasional Bukit Jalil berikutan kerja-kerja penyelenggaraan trek di sekitar stadium itu. Beliau berkata pengurusan Stadium Shah Alam telah dimaklumkan tentang perkara itu dan mereka akan membuat persediaan termasuk melakukan kerja penyelenggaraan sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia itu berlangsung.

Stadium Shah Alam merupakan stadium kedua terbesar di negara ini dan boleh menampung kapasiti 80,000 penonton berbanding Stadium Nasional yang boleh memuatkan 100,000 penonton.

Hamidin berkata pihak Perbadanan Stadium Negara terpaksa mengosongkan sementara padang Stadium Nasional daripada sebarang aktiviti kerana rumput yang ditanam pada awal September lepas bagi saingan Piala AFF Suzuki 2012, masih belum matang.

Stadium Nasional menjadi salah satu venue perlawanan Piala AFF Suzuki 2012 selain daripada venue utama di Stadium Rajamangala di Bangkok, Thailand yang mana kejohanan berkenaan dijadual berlangsung dari 24 November hingga 22 Disember. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain