suria

KBS Tidak Berhasrat Pindahkan Pusat Latihan Berbasikal Trek Negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak berhasrat untuk memindahkan pusat latihan berbasikal trek negara di Melbourne, Australia ke velodrom tertutup baharu yang bakal dibina di Negeri Sembilan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata walaupun kos keseluruhan perbelanjaan atlet berbasikal trek negara di negara Kanggaru itu mencecah RM1 juta setahun, pihaknya berkeyakinan ia masih munasabah.

"Kos ini (RM1 juta setahun) saya rasakan masih lagi dalam kemampuan kita (KBS) untuk menanggungnya, jadi itu bukan alasan utama untuk kita memindahkan pusat latihan berbasikal trek negara buat masa kini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan OCBC Cycle Malaysia 2013 di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) baru-baru ini supaya latihan skuad negara di Melbourne ditamatkan, untuk menjimatkan kos, selepas velodrom yang diumum kerajaan menerusi Belanjawan 2013 itu siap sepenuhnya.

Ahmad Shabery berkata pembinaan velodrom tertutup itu harus dilaksanakan di negara ini memandangkan sukan berbasikal trek negara telah mencapai beberapa kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa.

"Kita tidak seharusnya memikirkan acara yang disertai pelumba berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang sahaja, kerana terdapat banyak kategori lain yang sepatutnya kita kuasai selain melahirkan bakat-bakat baharu.

"Ini (kelahiran bakat-bakat baharu) tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya kita terus bergantung kepada kemudahan negara lain dan sebab itu, kita perlu mempunyai velodrom tertutup kita sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai ketua jurulatih terjun negara Yang Zhuliang dari China yang berhasrat berpindah ke Australia.

"Perbincangan harus segera dibuat dengan Yang Zhuliang supaya beliau dapat terus berkhidmat kepada pembangunan sukan terjun negara.

"Saya ada mendengar (khabar angin) mengenai masalah persekolahan anak beliau dan sebagainya namun saya berpendapat ia boleh diuruskan oleh pihak-pihak berkenaan," katanya sambil mengharapkan jurulatih itu kekal menerajui skuad terjun negara.

Beliau berkata KBS sentiasa bersedia mendengar cadangan daripada Yang termasuk penambahan jurulatih dari luar negara bagi memastikan skuad terjun negara mengekalkan prestasi semasa mereka.

Sebuah akhbar tempatan hari ini dipetik sebagai berkata Yang, 48, dilaporkan sedang menimbangkan hasrat untuk mengisi kekosongan jawatan jurulatih Prestasi Tinggi Program Olimpik Rio De Janeiro 2016 oleh Diving Australia bagi mempersiap skuad terjun negara itu menghadapi temasya sukan terbesar dunia itu.

Mengulas acara berbasikal tahunan itu, Ahmad Shabery berharap ia akan menjadi platform kepada rakyat negara ini untuk menjadikan aktiviti berbasikal sebagai satu daripada aktiviti sampingan.

Acara berbasikal amal yang memasuki tahun kedua penganjurannya sejak 2011 itu dianjurkan bersama oleh OCBC Bank serta syarikat penganjur sukan antarabangsa, Spectrum Worlwide dan bakal berlangsung dari 11-13 Jan 2013 di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.

Sebanyak enam kategori bakal dipertanding melibatkan jarak dari 5.5 sehingga 48km.

Antara kategori yang dipertanding ialah Kids Ride (5.5km) untuk kanak-kanak berusia dua hingga sembilan tahun manakala kategori utama sejauh 48km terbuka kepada peserta berusia 14 tahun ke atas.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain