suria

10 Pasukan Diminta Langsai Tunggakan KWSP Pemain

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi amaran kepada 10 pasukan Liga Malaysia supaya melangsaikan tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan cukai pendapatan pemain masing-masing yang keseluruhan berjumlah RM2.1 juta sebelum 23 November ini.

Tarikh tersebut merupakan hari terakhir bagi pendaftaran pasukan untuk musim depan.

Ketika memberikan peringatan tersebut, Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menggugur 10 pasukan tersebut daripada bermain di musim depan sekiranya mereka gagal berbuat demikian.

"Namun saya tidak boleh mendedahkan nama 10 pasukan tersebut sehinggalah kita mengeluarkan surat amaran kepada mereka dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah di Wisma FAM di sini hari ini.

Sementara itu Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata jawatankuasa tersebut sebulat suara bersetuju untuk mengekal penyertaan 16 pasukan dalam kempen Piala Malaysia musim depan.

Katanya perkara tersebut telah dipersetujui oleh ahli exco FAM setelah mengambil kira pandangan setiap pasukan dalam Liga Malaysia dan berharap perkara itu tidak dijadikan isu.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa penyertaan pasukan dalam Piala Malaysia akan ditambah kepada 26 pasukan, namun terdapat bantahan daripada beberapa pihak termasuk dari bekas pemain serta jurulatih.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain