suria

Ranking Tidak Cerminkan Prestasi Sebenar - Rajagobal

PETALING JAYA: Kejatuhan ranking Malaysia dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak mencerminkan prestasi sebenar skuad Harimau Malaya, kata ketua jurulatih negara Datuk K.Rajagobal.

"Ranking hanyalah kedudukan yang membabitkan angka," katanya, sambil menegaskan bahawa soal ranking tidak penting kerana ia bukan pengukur sebenar prestasi anak didiknya.

Ranking yang dikeluarkan FIFA semalam menunjukkan Malaysia jatuh enam tangga di kedudukan 162 dunia berkongsi tempat dengan Singapura. Ranking itu adalah yang terburuk sepanjang tahun ini selepas Malaysia berada di tangga ke-148 dunia pada Januari lalu.

Rajagobal yakin soal ranking itu tidak akan menjejaskan prestasi skuad bimbingannya, berkata tumpuan utama kini ialah persiapan menghadapi Piala AFF Suzuki 2012 pada November ini.

Katanya pasukan bimbingannya masih mempunyai masa untuk melakukan persiapan dan beliau sudah mendapat gambaran awal untuk memilih pemain.

Tarikh pendaftaran pemain bagi saingan Pila Suzuki 2012 akan ditutup pada 25 Okt ini dan saya telah mendapat bayangan dalam kepala untuk mengambil 32 pemain, sementara selebihnya dua tempat lagi akan diberikan pemain baharu bagi memberi peluang kepada mereka," katanya.

Beliau berkata skuad bimbingannya akan melalui tiga perlawanan persahabatan antarabangsa iaitu bersama Hong Kong pada 16 Okt dan dua perlawanan menentang Vietnam pada awal November sebelum memulakan kempen Piala AFF Suzuki 2012.

Skuad Harimau Malaya berdepan laluan getir pada Piala AFF Suzuki kali ini apabila diundi bersama naib juara edisi 2010, Indonesia dan juara tiga kali Singapura dalam Kumpulan B.

Pusingan kelayakan kejohanan itu akan berlangsung dari 5 hingga 13 Okt di Myanmar dengan format kalah mati melibatkan pasukan Brunei, Kemboja, Laos, Timor Leste dan Thailand.

Perlawanan Kumpulan A yang melibatkan Thailand, Vietnam, Filipina dan pemenang pusingan kelayakan akan berlangsung di Stadium Rajamangala di Bangkok manakala saingan dalam Kumpulan B akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, dari 24 Nov hingga 22 Dis.

Harimau Malaya akan membuka kempen menentang Singapura pada 25 Nov, diikuti bertemu naib juara pusingan kelayakan pada 27 Nov sebelum menutup aksi kumpulan berdepan Indonesia pada 1 Dis.-BERNAMA

Artikel Lain