suria

Olahraga: Adi Tekad Raih Emas Kali Ketiga

KUALA LUMPUR: Atlet lontar peluru negara, Adi Alifuddin Husin kini mempergiat latihan untuk memenangi pingat emas kali ketiga berturut-turut di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-88 hujung minggu ini.

Atlet kelahiran Terengganu itu ialah pemenang pingat emas lontar peluru pada dua edisi lepas di venue sama, Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN).

Adi Alifuddin, 24, berkata beliau menjangkakan Thailand menjadi pencabar terkuatnya memandangkan pemegang rekod Sukan SEA adalah peserta dari negara itu.

Penuntut jurusan Pembangunan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu kini berlatih di bawah kendalian jurulatih lontar peluru negara, Nazar Abdul Rahim di MSN.

Katanya beliau juga akan memberi tumpuan merebut pingat emas sekali lagi di Kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) yang kali ini akan diadakan di Laos pada Disember.

"InsyaAllah, saya berharap untuk mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada edisi lepas di Thailand," katanya.

Adi Alifuddin juga ialah pemegang rekod kebangsaan acara lontar peluru lelaki dengan catatan 17.53m yang diciptanya pada Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain