suria

Juara F1 Tujuh Kali Michael Schumacher Umum Persaraan, Tempat Diganti Oleh Lewis Hamilton

JUARA FORMULA 1 tujuh kali, Michael Schumacher mengumumkan persaraannya buat kali kedua sebaik sahaja selesai kalendar perlumbaan musim ini.

Tempat Schumacher, 43, dalam pasukan Mercedes-Petronas akan diambil alih oleh seorang lagi bekas juara dunia, iaitu pemandu McLaren, Lewis Hamilton mulai musim2013.

"Saya telah pun membuat keputusan untuk bersara dari F1 selepas tamatnya musim ini," kata Schumacher sambil menambah "kali ini mungkin untuk selama-lamanya."

Schumacher, yang menjuarai F1 sebanyak tujuh kali pertama kali bersara pada penghujung 2006 tetapi empat tahun kemudian iaitu pada 2010 beliau kembali bersama pasukan Merdedes-Petronas.

Ross Brawn, pengendali pasukan Mercedes dan juga mentor Schumacher ketika pelumba itu masih bersama Ferrari, berkata: "Saya tetap merasakan dia adalah pelumba terhebat yang pernah dilahirkan oleh F1 dan saya rasa sangat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan pelumba sepertinya."

Suara Schumacher bercampur baur dengan emosi ketika dia membuat pengumuman itu pada Khamis tetapi menegaskan keputusan untuk bersara kali ini adalah satu keputusan yang betul sambil menambah dirinya berasa 'kosong'.

Bagaimanapun dia menegaskan, keputusan untuk meninggalkan F1 selama-lamanya bukanlah satu keputusan yang menyakitkan sebaliknya satu kelegaan kerana "saya telah melakukan segala-galanya untuk sukan lumba ini tetapi apabila bateri di dalam diri anda menjadi semakin rendah dan memandangkan usia saya yang semakin meningkat, akhirnya ia menjadi sesuatu yang saya ingin lakukan."

Menurutnya, masih banyak lagi perkara lain dalam kehidupan yang boleh dilakukannya dan sekarang adalah masa yang terbaik untuk melakukannya.

Nampaknya pengumuman Schumacher sejurus sebelum berlangsungnya perlumbaan di trak Suzuka, Jepun hujung minggu ini pastinya meninggalkan memori yang sukar dilupakan kerana di sinilah dia memenangi enam perlumbaan termasuk dua kali menjuarai gelaran dunia khususnya pada tahun 2000 yang menyaksikan dominasi Ferrari dalam sukan ini.

Pada masa yang sama Schumacher mengalu-alukan penyertaan Lewis dalam pasukan Mercedes-Petronas.

Di sebalik kegagalan untuk memberi impak maksima bersama pasukan Mercedes-Petronas, Schumacher hanya berjaya membuat satu kemunculan atas podium dalam tiga musim.

Namun kegagalannya mencapai kejayaan dalam kemunculan keduanya ini tidak akan sama sekali mencemar reputasinya sebagai juara dunia tujuh kali.

Kemunculan pertamanya dari 1991 hingga 2006, telah menyaksikannya menulis semula sejarah perlumbaan F1 - memenangi tujuh kejuaraan - dua yang pertama bersama Benetton (1994-5) serta mencatat 91 kemenangan perlumbaan keseluruhannya.

Malah dia akan dikenang sebagai pelumba yang telah membawa semula Ferrari sebagai juara dunia selepas menyertai mereka pada 1996 bersama-sama mentornya Ross Brawn, Jean Todt, Rory Byrne dan Paolo Martinelli.

Selepas itu dia memenangi lima kejuaraan dunia berturut-turut bersama Ferrari dari 2000–04.

Sementara itu Hamilton berkata, dia tidak akan dapat mengisi tempat yang dikosongkan oleh Schumacher.

"Tiada siapa pun yang dapat mengisi tempatnya...dia adalah lagenda perlumbaan F1," kata juara F1 2008 itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain