suria

SAM Disaran Wujud Skim Perlindungan Penulis Sukan

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan kepada Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) supaya memperkenal skim perlindungan insurans yang menyeluruh untuk para wartawan sukan.

Ahmad Shabery berkata selain skim kebajikan untuk para wartawan sukan sedia ada, SAM perlu melihat dari aspek lain seperti skim berkaitan dengan kesihatan dan perkara lain untuk membantu wartawan menghadapi tekanan kerja.

"Saya kira SAM perlu membincangkan satu sumbangan yang lebih besar dan lebih baik untuk menjaga kebajikan pemberita sukan tanah air. Sifat kerja wartawan ini sentiasa dilanda dengan tekanan tidak kira waktu, pagi, petang dan malam.

"Sudah tentu ia akan melibatkan kesihatan. Selain itu juga perkara lain adalah meringankan tekanan yang dialami para wartawan," katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga wartawan sukan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Allahyarham Zulhilmi Supaat di Kampung Nakhoda, Selayang di sini, Selasa.

Turut hadir Pengurus Besar Bernama Datuk Hasnul Hassan.

Allahyarham, 44, meninggal dunia akibat serangan jantung, meninggalkan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan, berusia antara lima dan sembilan tahun.

Allahyaram menyertai Bernama pada 1992 dan membuat liputan pelbagai acara sukan di dalam dan luar negara, antaranya Sukan Olimpik London Ogos lepas, Sukan Asia di Doha, Qatar (2006) dan Guangzhou 2010, selain beberapa edisi Sukan SEA serta beberapa kejohanan badminton termasuk Kejohanan Badminton Piala Dunia di Birmingham (2003), Piala Thomas di Jepun (2006) dan Indonesia (2008). Hasnul berkata Allahyarham merupakan seorang wartawan yang tidak pernah mengeluh dengan beban kerja dan seorang pekerja yang sangat komited dengan tanggungjawabnya selaku ketua meja sukan di Bernama.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain