suria

Program MSN-KOM Diteruskan Untuk Bangun Sukan Olahraga -Zolkples

KUALA LUMPUR: Kepimpinan baharu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) membincangkan mengenai kerjasama yang dapat dilaksana untuk membangunkan kembali sukan olahraga negara.

Perbincangan berlangsung pada kunjungan Presiden KOM Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Timbalannya Datuk Wan Hisham Wan Salleh ke pejabat Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong di Bukit Jalil di sini.

"Berdasarkan kepada pengalaman luas Datuk Zainal dalam sukan olahraga, begitu juga dengan Timbalan Presiden KOM yang baharu, saya yakin kepimpinan mereka mampu memberi nafas baharu kepada sukan olahraga negara," kata Zolkples kepada pemberita selepas perjumpaan itu.

Beliau turut meminta kepimpinan KOM supaya memantau program pembangunan atlet pelapis di negeri yang dilihat agak ketinggalan, khususnya dalam persediaan untuk memilih atlet ke Sukan SEA.

Sementara itu, Zainal Abidin pula menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama dengan MSN bagi meningkatkan mutu sukan olahraga tanah air.

"Kita akan berusaha melonjakkan sukan olahraga untuk kembali menjadi antara negara 'power house' di rantau Asia walaupun ia perlu mengambil masa panjang," kata Zainal Abidin.

Menurutnya, Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia hujung minggu ini akan menjadi kayu pengukur kepada KOM untuk merancang program latihan sebagai persediaan atlet.

Kejohanan dua hari bermula 6 Okt itu melibatkan penyertaan 280 atlet termasuk dari negara luar iaitu Singapura, Thailand, Taiwan, Iran, Hong Kong, Kuwait dan Brunei.

"Daripada kejohanan itu kita akan tahu standard sekarang dan di mana status kita. Ini akan jadi kes ujian kita. Hasilnya kita akan bincang pada mesyuarat 11 Okt ini," kata Zainal Abidin.

Mengenai sasaran awal sembilan pingat emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar tahun depan oleh presiden KOM terdahulu Datuk Seri Shahidan Kassim, Zainal Abidin berkata pihaknya akan mengkaji semula pekara itu.

"Kita boleh terima sasaran itu tetapi kita perlu mengkajinya semula. Namun sekiranya kita mempunyai kebolehan...kita boleh tambah jumlah sasaran itu," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain