suria

Negeri Dapat Pusat Latihan Bola Sepak Kedua Bermula Januari

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara akan menambah satu lagi pusat latihan di setiap negeri bagi tujuan mencungkil lebih ramai bakat muda dalam sukan itu. Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata jawatankuasa itu akan menggunakan peruntukan sedia ada untuk melaksanakan pusat latihan terbabit, sebagai tambahan kepada 14 yang ada sekarang.

"Langkah menambah pusat kedua di setiap negeri bagi memastikan capaian lebih besar selepas kejayaan pusat latihan sedia," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Bangunan Parlimen, Selasa.

Beliau berkata tumpuan pembangunan bola sepak akan diberikan kepada kategori umur bawah 10 tahun dan 12 tahun.

"Kita perlu memberi penekanan kepada pemain-pemain kategori umur demikian untuk kita bersedia menghadapi kelayakan Piala Dunia Fifa Bawah-17 yang akan diadakan pada 2019, " kata Razali yang juga pengerusi jawatankuasa.

Katanya menerusi program yang dirancang, pemain akan berpeluang mempelajari teknik bola sepak yang betul di bawah kendalian jurulatih berkualiti.

Untuk tujuan itu, Razali berkata jawatankuasa berkenaan telah mengenal pasti 98 jurulatih untuk ditempatkan di 14 buah Pusat Latihan Daerah yang baharu bermula tahun depan.

Jawatankuasa Pembangunan Bola sepak Negara juga melihat kemungkinan untuk mengadakan Pusat Latihan Daerah di Putrajaya dan Labuan kerana kawasan terbabit juga memiliki bakat baharu yang boleh dicungkil, katanya.

Sementara itu, Razali juga berkata dalam merealisasikan usaha untuk melayakkan diri ke Piala Dunia Fifa Bawah-17 itu, jawatankuasa berkenaan akan meminta kerjasama Kementerian Pelajaran untuk memberi pelepasan kepada pemain agar tidak terlibat dengan aktiviti sukan selain bola sepak.

Dalam perkembangan lain, Razali berkata jawatankuasa itu bersetuju untuk menghantar skuad Harimau Muda B menjalani latihan di Turki selama sebulan,selain menghadapi enam perlawanan ketika di sana.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad, Turki dipilih memandangkan lokasi latihan di Slovakia sebelum ini berada di luar musim liga.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain