suria

FAM Akan Pertimbang Rayuan Butler -Sultan Ahmad Shah

KUANTAN: Mungkin ada berita baik buat jurulatih bola sepak Terengganu, Peter Butler apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mempertimbangkan rayuan berhubung penggantungannya selama enam bulan dalam skuad Terengganu baru-baru ini.

Presidennya, Sultan Ahmad Shah bertitah pihaknya telah menerima rayuan jurulatih dari England itu dan akan membuat pertimbangan sewajarnya dengan teliti sebelum keputusan muktamad dibuat.

"Saya dimaklumkan Jawatankuasa Disiplin Terengganu telah menerima rayuan itu dan beliau turut membuat rayuan kepada Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Saya akan meneliti rayuan yang dikemukakan kerana bukan perkara yang mudah untuk menghakimi seseorang kerana perlu memikirkan implikasi atau kesannya kelak," titah baginda kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi melihat pembinaan Jambatan Kampung Kawah, Sungai Lembing di sini hari ini.

Sultan Ahmad Shah bertitah keputusan berhubung rayuan jurulatih berusia 46 tahun itu memerlukan masa dan tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru.

"Mungkin di Terengganu dia didapati bersalah, mungkin bila merayu ke FAM lain pula... kita tengok. Ini kerana saya memerlukan masa sebab perkara ini perlu dilihat secara terperinci dan tidak boleh hari ini merayu dan esok (mahu tahu) keputusannya," kata baginda. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain