"Raja Bola M'sia" Ditawar Bermain Di Liga EPL Pada 1962 - Sukan | mStar

"Raja Bola M'sia" Ditawar Bermain Di Liga EPL Pada 1962

KUALA LUMPUR: Mungkin ramai tidak tahu, 'Raja Bola' Tan Sri Abdul Ghani Minhat yang meninggal dunia hari ini merupakan pemain Malaysia yang pertama ditawarkan beraksi di Liga Perdana Inggeris pada 1962.

Allahyarham dilamar kelab Cardiff City yang mahu beliau menjadi pemain profesionalnya, namun Allahyarham menolak. Sebaliknya, Abdul Ghani membuat keputusan menjelajah England dan Eropah selama empat bulan.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada 10.34 pagi ini di Institut Jantung Negara di sini, akibat komplikasi selepas menjalani pembedahan pintasan jantung pada Selasa.

Allahyarham berusia 77 tahun. Beliau meninggalkan balu Puan Sri Tengku Aishah Tengku Ibrahim dan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Abdul Ghani yang dilahirkan pada 23 Dis 1935 di Rantau, Negeri Sembilan mula aktif dalam sukan bola sepak pada 1954 dengan menyertai pasukan Selangor Rangers dan Kelab Polis Depot.

Pada 1957, Allahyarham mula mewakili Malaysia dalam kejohanan Pestabola Merdeka.

Uniknya, perlawanan itu berlangsung di Stadium Merdeka pada malam 30 Ogos 1957 sebelum berlangsungnya upacara kemerdekaan negara pada keesokan hari.

Beraksi sebagai 'inside forward' yang licik dan lincah pada sekitar tahun 1960-an, permainan taktikalnya di depan gol sering menggerunkan pihak lawan.

Pada 1962, Allahyarham mengikuti kursus empat bulan di kelab Eintracht Frankfurt di Jerman dan West Ham United di England.

Allahyarham yang mempunyai sijil kejurulatihan dari Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 1969, pernah menjadi jurulatih kebangsaan dari 1971 hingga 1976.

Selain membawa Malaysia menjuarai kejohanan Pestabola Merdeka dari 1958 hingga 1960, Allahyarham pernah mengetuai skuad kebangsaan meraih pingat emas pada Sukan SEAP (kini Sukan SEA) 1961 di Rangoon (kini Yangoon, Myanmar) dan pingat gangsa pada Sukan Asia 1962 di Jakarta, Indonesia.

Walaupun dilahirkan di Negeri Sembilan, namun Allahyarham lebih banyak terlibat dengan arena bola sepak di Selangor sebagai pemain dari 1953 sehingga 1968 sebelum menjadi jurulatih skuad Gergasi Merah dari 1970 hingga 1972.

Sebagai menghargai sumbangan beliau, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS)menganugerahkan gelaran "Raja Bola' kepada Allahyarham pada 1959.

Sesuatu yang menarik, Allahyarham pernah menjaringkan 106 gol dalam 15 perlawanan sehingga dianugerahkan gelaran Pemain Bola Sepak Terbaik bagi tahun 1959 dan 1960.

Penglibatan aktifnya dalam dunia bola sepak berakhir pada 1993 dengan menjadi jurulatih kepada skuad Piala Emas Raja-Raja bagi pasukan Selangor.

Allahyarham kemudian menumpukan perhatian kepada perniagaan syarikat elektroniknya di Petaling Jaya.

Allahyarham dianugerahkan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada Jun tahun ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain