suria

Jenazah Ghani Minhat Selamat Dikebumikan

PETALING JAYA: Jenazah legenda bola sepak negara, Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21, Subang Jaya dekat sini, pukul 5.20 petang Jumaat.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang ke rumah keluarganya di Putra Heights, Subang Jaya.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Nik Abdul Halim yang ditemui pemberita berkata ayahnya meningal dunia selepas mengalami komplikasi susulan pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara pada Selasa lepas.

"Disebabkan usia Allahyarham, organ badannya tidak mampu untuk berfungsi dengan baik bagi membantu proses pemulihan selepas pembedahan yang telah dijalankan," katanya.

Turut berada di majlis pengebumian 'Raja Bola' itu ialah pemain veteran bola sepak negara seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh dan Reduan Abdullah.

Chin Aun yang merupakan anak didik Allahyarham berkata, pemergian mentornya itu satu kehilangan buat arena bola sepak tanah air.

"Allahyarham adalah seorang individu yang banyak memberi impak kepada perjalanan karier bola sepak saya. Sebagai jurulatih dan 'senior', beliau banyak menasihati saya memperbaiki mutu permainan dan kehidupan saya sebagai pemain bola sepak," katanya.

Sementara itu, Santokh Singh berkata, walaupun tidak pernah bermain bersama di atas padang, Allahyarham merupakan seorang yang menakjubkan sebagai jurulatih dalam memberi tunjuk ajar.

"Saya pernah berada di bawah bimbingan beliau semasa dalam pasukan remaja kebangsaan dan nasihat beliau yang saya ingat sehingga kini adalah perlunya dedikasi dalam membawa cabaran bagi pihak negara dalam sebarang pertandingan bola sepak," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) Ahmad Khawari Isa berkata, pihak berwajib wajar memberi pengiktirafan setimpal kepada Allahyarham yang banyak menyumbang kepada pembangunan sukan bola sepak negara.

"Allahyarham banyak menyumbang jasa kepada pembangunan bola sepak negara. SAM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga rohnya dicucuri rahmat.

"Seluruh warga SAM sedih di atas pemergiannya," kata beliau dalam satu kenyataan. - BERNAMA

Artikel Lain