suria

Tenis Terbuka Malaysia: Jaguh No 1 Asia Mara Ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Jaguh tenis nombor satu Asia, Kei Nishikori dari Jepun mara ke suku akhir selepas menewaskan Albert Ramos dari Sepanyol 6-7,6-2,6-1 pada saingan kedua Kejohanan Terbuka Malaysia ATP Jelajah Dunia, Khamis.

Tewas pada set pertama, Nishikori bangkit meninggalkan Ramos 6-2 pada set kedua sekaligus membawa permainan set ketiga dengan catatan 6-1.

Pada set ketiga, Nishikori mempamerkan aksi lebih bertenaga melakukan servis, menyukarkan Ramos membalas dengan baik pukulan itu.

"Pada set pertama saya terpaksa bergelut dengan kutipan mata yang begitu hampir dan ia bukan permainan sebenar saya. Namun pada set kedua saya mula menukar corak permainan yang lebih agresif serta tidak melakukan kesilapan.

"Harap pada permainan seterusnya saya akan bermain lebih baik," katanya kepada media selepas perlawanan.

Pemain ke-17 dunia ini melangkah kaki ke suku akhir berdepan dengan Nikolay Davydenko dari Rusia yang telah menewaskan Denis Istomin (Uzbekistan) 7-5,6-4 dalam aksi sama hari ini.

"Saya juga ada tengok Nikolay bermain hari ini. Aksinya agak pantas dan saya akan cuba menukar rentak permainan apabila bertemu dengannya nanti," tambah pemain berusia 22 tahun ini.

Artikel Lain