suria

Terengganu Pertaruh 12 Pelumba Pada Terbuka Perlis

KUALA TERENGGANU: Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) akan mempertaruhkan 12 pelumba bagi menyertai Kejohanan Lumba Basikal Terbuka Perlis selama tiga hari mulai 4 Oktober depan.

Ketua Jurulatih PLBT, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, enam pelumba akan menyertai kategori senior manakala selebihnya kategori junior.

"Pada kejohanan ini, kita akan letak lima pelumba yang cemerlang pada Kejohanan Grand Prix Kebangsaan Sirkit ke-3 di Sarawak baru-baru ini bersama seorang pelumba pelapis bagi memberi cabaran dalam kategori senior.

"Bagi kategori junior, kami akan menampilkan muka baru yang rata-rata pelapis Sukma dan negeri sebagai pendedahan serta persiapan mereka untuk menyertai kejohanan yang lebih besar," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Mengenai persiapan skuad berbasikal Terengganu pada Sukma 2014 di Perlis nanti, Syed Mohd Hussaini berkata PLBT telah mengenal pasti 15 daripada 60 pelumba pelapis untuk mengambil bahagian dan mereka kini sedang giat menjalani latihan.

"Kita telah menjalani latihan intensif bermula 26 Ogos lalu dan diharap kesemua mereka yang terpilih akan terus mempamerkan aksi yang konsisten sepanjang sesi latihan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain