suria

Shahidan Serah Tugas Presiden KOM Kepada Zainal

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahidan Kassim secara rasmi menyerahkan tugas sebagai Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad yang menang pada pemilihan badan induk sukan olahraga negara, Ahad lalu.

Shahidan yang berhajat mempertahankan kerusi Presiden untuk penggal ketiga berturut-turut kalah mengejut kepada Zainal Abidin yang juga Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS).

Shahidan yang menyandang jawatan presiden KOM sejak 2006, hanya memperoleh 21 undi berbanding lawannya yang memungut 23 undi daripada 44 perwakilan yang mengundi mewakili 14 anggota KOM.

Shahidan dan Zainal Abidin mengadakan pertemuan tertutup hampir sejam di pejabat KOM di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Zainal Abidin yang ditemui pemberita selepas majlis penyerahan tugas itu berkata Shahidan telah menyerahkan 15 tugasan penting yang harus diselesaikan termasuk laporan salah laku membabitkan bekas Timbalan Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim.

"Saya tidak boleh mendedahkan semua 15 perkara itu kerana saya baru menjalankan tugas saya secara rasmi sejak Isnin lepas, dan berkenaan isu Karim, saya akan memutuskan tindakan yang bersesuaian selepas saya membaca salinan laporan kes tersebut," Zainal Abidin.

Beliau akan mengadakan perjumpaan dengan semua atlet dan jurulatih olahraga negara pada 3 Oktober ini bagi membincangkan keperluan semasa atlet serta perancangan aktiviti olahraga untuk tahun depan.

"Setakat ini, saya melihat perlunya untuk saya membetulkan cara perjalanan dalam KOM selain aktiviti olahraga untuk negara," katanya.

Beliau turut mengesahkan akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong dalam masa terdekat bagi mengeratkan hubungan antara kedua-dua badan sukan itu.

Selain Shahidan, Karim turut menerima nasib sama apabila tewas kepada Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu Datuk Wan Hisham Wan Salleh. BERNAMA

Artikel Lain