suria

Piala AFC: Kelantan Gagal Mara Ke Separuh Akhir

KOTA BAHARU: Wakil tunggal negara pada saingan Piala AFC, Kelantan gagal menempah tiket ke separuh akhir walaupun seri 1-1 menentang wakil kelab dari Iraq, Arbil SC pada saingan suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini Selasa malam.

Juara Liga Super itu, sebelum ini tewas 1-5 kepada kelab dari Iraq itu pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Francouse Al Hareeri, Erbil, Iraq pada 18 Sept lepas.

Sebaik permainan bermula, pasukan tuan rumah terlebih dahulu bertindak garang menerusi percubaan pemain tengah, Indra Putra Mahayuddin seawal minit kesembilan namun sepakannya melepasi palang gol lawan.

Pemain import Kelantan, Obinna Nwaneri memperoleh peluang membuka tirai jaringan empat minit kemudian hasil hantaran ketua pasukan Mohd Badhri Mohd Radzi, namun tandukannya sedikit tersasar.

Wakil kelab dari Iraq itu akhirnya membuka jaringan menerusi Sula Matovu pada minit ke-37 selepas berjaya melepasi beberapa pemain pertahanan tuan rumah sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Bersambung separuh masa kedua, Kelantan cuba mencari gol penyamaan pada minit ke-53 menerusi Indra Putra yang mendapat hantaran lintang daripada Mohd Nor Farhan Muhammad, namun sepakannya berjaya ditangkap kemas penjaga gol Arbil SC, Jalal Hassan Hachim.

Kelantan akhirnya berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan penalti penyerang berbisa mereka, Mohammed Ghaddar Mahmoud pada minit-minit terakhir permainan selepas beliau dijatuhkan pertahanan lawan dalam kotak penalti.

Wakil kelab dari Iraq itu akan bertemu sama ada kelab dari Thailand, Chonburi FC atau Al-Shorta dari Syria pada saingan separuh akhir yang dijadual berlangsung pada 2 dan 23 Okt ini.

Kelantan merupakan pasukan keempat dari Malaysia yang berjaya mara sehingga ke suku akhir selepas Perak pada 2004 dan 2008, Selangor (2006) dan Kedah pada 2008.

Senarai Pemain:

KELANTAN: Khairul Fahmi Ceh Mat, S. Subramaniam, Obinna Nwaneri, Mafry Balang (Antwi Dennis Agyare), Mohamed Aslam Haja Najumudeen, Mohd Shakir Shaari, Mohd Nor Farhan Muhammad, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Badhri Mohd Radzi (Mohd Nurul Azwan Roya), Norshahrul Idlan Talaha, Muhammad Afiq Azmi (Mohamad Ghaddar).

ARBIL SC: Jalal Hassan Hachim, Halkard M Mohammad Taher, Salih Sadeer, Sula Matovu (Luay Salah), Nadim Sabag, Ivan Bukenya, Miran Khasro Saleem, Waleed Salim Edwereag Al-Lami (Ammar Abdulhussein Ahmed al-Asadi), Saad Abdulameer Luaibi, Amjed Radhi (Mustafa Kareem), Ahmed Ibrahim.-BERNAMA

Artikel Lain