suria

Perkukuhkan Hubungan Erat Dengan Semua Pihak Demi Pembanguan Sukan - MOM

KUALA LUMPUR: Kepimpinan baharu Kesatuan OlahragaMalaysia (KOM) akan memastikan hubungan baik dengan semua pihak diperkukuhkan, kata timbalan presidennya, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Wan Hisham berkata hubungan baik dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), atlet dan media adalah perkara penting bagi memastikan perjalanan pembangunan sukan olahraga berjalan dengan lancar.

"Hubungan dengan MSN dan atlet-atlet itu sendiri perlu diperkukuhkan. Ini termasuk KBS dan agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan sukan.

"Saya yakin dengan pendekatan seperti ini, kita akan lebih kuat untuk mendapatkan hasil yang terbaik kerana semua agensi-agensi ada matlamat yang sama iaitu menghasilkan atlet bertaraf dunia dan mempunyai jati diri yang tinggi untuk menaikkan imej negara," katanya ketika diminta mengulas mengenai pemilihan KOM semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis penyerahan penajaan oleh Felda Berhad (Felda) selaku penaja bersama Kejohanan Perahu Layar KFC-Felda Terbuka Johor 2012 di Dewan Perdana Felda, di sini hari ini.

Pada pengundian yang berlangsung semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KOM yang diadakan di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil semalam, Wan Hisham, selaku Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT), mengalahkan bekas timbalan presiden, Datuk Karim Ibrahim dengan kelebihan enam undi, selepas meraih 25 undian.

Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS) Datuk Zainal Abidin Ahmad pula dipilih sebagai Presiden KOM yang baru selepas mengalahkan bekas presiden Datuk Seri Shahidan Kassim.

Wan Hisham berkata dengan kepimpinan baharu itu, persatuan tetap mengiktiraf sumbangan dan perjuangan anggota jawatankuasa terdahulu dan akan berusaha untuk meningkatkan prestasi sedia ada.

"Bagi saya apa yang baik, kita perkemaskan lagi, yang ada kelemahan kita perlu perbaiki. Kita mesti kena ada kesinambungan.

"Kita perlu iktiraf sumbangan yang diberi oleh anggota jawatankuasa yang lama, dan sumbangan presiden-presiden terdahulu, jadi kita perlu lihat secara holistik perkara ini," katanya.

Sementara itu, semasa menjawab persoalan tindakan Zainal yang tidak mahu bertemu dengan pemberita selepas majlis pengundian, Wan Hisham berkata perkara tersebut perlu dilihat secara positif dan persatuan akan mengadakan pertemuan dengan Anggota Majlis untuk berbincang tentang pembangunan sukan secara menyeluruh.

"Mungkin dengan keadaan yang kelam kabut semalam, dia tidak bersedia untuk berjumpa dengan media kerana khuatir tersilap cakap. Saya rasa kita perlu melihatnya secara positif, kerana beliau (Zainal) pun terkejut...yang saya lihat beliau mahu buktikan tugasnya dan kurangkan bercakap.

"Saya rasa kita melihat ini secara positif...dan saya yakin selepas ini, persidangan bersama Anggota Majlis, beliau akan bercakap dengan lebih terperinci," kata Wan Hisham.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain