suria

Terry Umumkan Persaraan Dalam Skuad England

Terry mengambil keputusan bersara daripada aksi antarabangsa pada Ahad.
Terry mengambil keputusan bersara daripada aksi antarabangsa pada Ahad.
Terry mengambil keputusan bersara daripada aksi antarabangsa pada Ahad.

PEMAIN pertahanan Chelsea, John Terry mengambil keputusan untuk menggantungkan butnya di peringkat antarabangsa selepas mengharungi pelbagai kontroversi bersama skuad England.

Terry,31, yang memperolehi 78 cap sejak menyarung jersi England pada tahun 2003, berkata, posisinya bersama pasukan itu terumbang-ambing selepas Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) tidak berpuas hati dalam kes yang dihadapinya.

Bekas kapten The Three Lions ini mengumumkan persaraannya itu sehari sebelum tribunal FA membicarakan kes kenyataannya yang berunsur perkauman yang dilafazkannya terhadap pemain Queens Park Rangers, Anton Ferdinand yang juga merupakan adik kepada pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand biarpun telah diputuskan tidak bersalah oleh mahkamah pada Julai lalu.

"Hari ini saya mengumumkan persaraan saya daripada aksi antarabangsa. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurus England yang telah memilih saya untuk mencapai 78 cap.

"Saya telah melalui masa yang indah ketika bersama pasukan kebangsaan dan berkongsi pengalaman dengan pemain-pemain lain.

"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka, semua peminat dan keluarga yang telah memberi sokongan sepanjang saya bersama pasukan England.

"Mewakili negara dan menjadi kapten adalah sesuatu yang bermakna, yang diidam-idamkan oleh semua orang dan itu satu penghargaan buat saya.

"Saya telah memberi semuanya dan keputusan ini juga turut menyedihkan saya," katanya lewat malam Ahad.

Menurut Terry, dia membuat keputusan untuk bersara ini lebih awal iaitu sebelum mendengar keputusan pihak disiplin FA kerana dapat merasakan yang FA akan menjatuhkan hukuman walaupun kes ini telah selesai didengar di mahkamah sivil.

Terry pertama kali menyarung jersi England ketika menentang Serbia dan Montenegro (2003) dan dia juga terpilih bermain pada aksi akhir Euro di Portugal 2004 dan Euro 2012.

Sikap bertanggungjawab yang ditonjolkan Terry menjadikan dia dipilih sebagai kapten oleh bekas pengurus England, Steve McClaren selepas David Beckham pada Piala Dunia 2006.

Namun gelaran itu ditarik balik oleh Fabio Capello selepas timbul kontroversi peribadi pada tahun 2010.

Selepas itu, lilitan kapten kembali di lengan Terry selepas Rio Ferdinand mengalami kecederaan, tetapi dalam masa sama Capello mengambil keputusan berhenti selepas jawatan kapten dilucutkan oleh FA Inggeris dari tangan Terry tanpa berunding dengannya terlebih dahulu selepas timbul isu pemain tersebut dengan Anton.

Sebagai rekod, England telah memenangi 50 daripada 78 perlawanan yang disertai Terry dan hanya tewas 10 perlawanan.

Dia juga turut menjaringkan enam gol termasuk satu gol bagi pemain senior England di Stadium Wembley, 2007.

Buat masa sekarang, pemain Liverpool Steven Gerrard ditugaskan sebagai kapten England di bawah Roy Hodgson.

Artikel Berikut

Artikel Lain