suria

Shahidan Gagal Pertahan Jawatan, Zainal Abidin Presiden Baru KOM

Zainal Abidin Ahmad (tengah) dan Wan Hisham Wan Salleh (dua, kiri) mengangkat tangan bersama kepimpinan baru badan induk itu selepas Mesyuarat Agung Tahunan KOM di sini, Ahad. Turut kelihatan Mumtaz Jaafar (kiri), R.Annamalai (dua, kanan) dan K.Yogasveran (kanan). Foto BERNAMA
Zainal Abidin Ahmad (tengah) dan Wan Hisham Wan Salleh (dua, kiri) mengangkat tangan bersama kepimpinan baru badan induk itu selepas Mesyuarat Agung Tahunan KOM di sini, Ahad. Turut kelihatan Mumtaz Jaafar (kiri),  R.Annamalai (dua, kanan) dan K.Yogasveran (kanan). Foto BERNAMA
Zainal Abidin Ahmad (tengah) dan Wan Hisham Wan Salleh (dua, kiri) mengangkat tangan bersama kepimpinan baru badan induk itu selepas Mesyuarat Agung Tahunan KOM di sini, Ahad. Turut kelihatan Mumtaz Jaafar (kiri), R.Annamalai (dua, kanan) dan K.Yogasveran (kanan). Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Seri Shahidan Kassim gagal mempertahankan jawatannya untuk penggal ketiga berturut-turut pada pemilihan pucuk kepimpinan baharu badan induk olahraga negara untuk penggal 2013-2015 hari ini.

Beliau yang memegang jawatan Presiden sejak 2006 tewas mengejut kepada Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS) Datuk Zainal Abidin Ahmad pada pemilihan itu yang diadakan bersempena mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-10 di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Shahidan hanya memperoleh 21 undi berbanding Zainal Abidin yang memungut 23 undi dari 44 perwakilan yang mengundi iaitu mewakili 14 anggota KOM.

Timbalannya iaitu Datuk Karim Ibrahim turut menerima nasib yang sama selepas tewas kepada Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Karim memperoleh 19 undi manakala Wan Hisham yang pertama kali bertanding pada pemilihan kali ini mendapat 25 undi.

Kesemua 44 perwakilan yang mengundi sebulat suara memilih empat individu termasuk dua penyandang sebagai naib presiden KOM selepas memperoleh undi tertinggi.

Dua penyandang jawatan iaitu Datuk R. Annamalai dan Datuk Paduka Mumtaz Begum Abdul Jaffar masing-masing memperoleh 25 dan 24 undi manakala dua lagi calon iaitu Setiausaha Agung Persatuan Olahraga Amatur Selangor (POAS), K. Yogeswaran dan Presiden Persatuan Olahraga Amatur Sabah Datuk Paiman Abdul Karim pula masing-masing memperoleh 32 dan 28 undi.

Tiga lagi calon yang bertanding untuk jawatan tersebut memperoleh undi terendah iaitu Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Johor S. Rajasegram (24 undi) serta Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Terengganu Rajemah Sheikh Ahmad dan Mohamad Awang daripada Persatuan Olahraga Amatur Kelantan dengan 21 undi masing-masing.

Mumtaz diberikan kemenangan berbanding Rajasegram kerana KOM mewajibkan naib presidennya harus diwakili seorang wanita.

Shahidan yang ditemui pemberita selepas berakhirnya AGM tersebut menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka dan akan membantu KOM walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan presiden.

"Saya harapkan kepimpinan baharu KOM mampu membawa pembaharuan demi kebaikan sukan olahraga negara dan saya akan memberikan sokongan padu kepada kepimpinan yang dipilih oleh 44 perwakilan kita," katanya yang tidak pasti sama ada akan merebut kembali jawatan presiden pada 2016.

Nada yang sama turut disuarakan Karim yang berharap agar kepimpinan baharu dapat membawa KOM menjadi salah sebuah persatuan sukan yang disegani di negara ini.

"Saya ucapkan terima kasih kepada perwakilan yang memberi kepercayaan kepada saya selama ini dan saya berharap kepimpinan baharu di bawah Datuk Zainal Abidin serta Datuk Wan Hisham akan menaikkan nama KOM demi kebaikan sukan olahraga negara," katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin mengucapkan terima kasih kepada perwakilan yang memilih beliau dan berjanji akan memberikan sumbangan terbaik demi pembangunan berterusan sukan olahraga negara.

"Saya berikrar akan membantu untuk memajukan lagi sukan KOM dengan kerjasama erat daripada perwakilan serta anggota gabungan KOM," katanya.

Bagi Wan Hisham pula, beliau meminta perwakilan tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada kepimpinan baharu untuk mencipta kegemilangan pada masa yang singkat.

"Berilah masa kepada kami (kepimpinan baharu) untuk membetulkan segala kesalahan lampau dan berusaha bersama-sama membangunkan sukan olahraga negara," katanya.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain