suria

Juara Keseluruhan MMRC Wakili Malaysia Ke Piala Monsun 2012

KUALA LUMPUR: Juara keseluruhan Sirkit Match Malaysia (MMRC) akan dipilih mewakili Malaysia ke acara Piala Monsun 2012 di Terengganu pada hujung tahun ini.

Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (PPM) Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, acara MMRC kali ketiga itu akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini di Tanjung Leman, Mersing, Johor.

"Sirkit ketiga MMRC dan Marathon International 420 adalah antara acara baru diperkenalkan dalam Kejohanan Perahu Layar KFC-Felda Terbuka Johor 2012, yang akan berlangsung di Tanjung Leman bermula Jumaat ini.

"Juara keseluruhan bagi acara MMRC secara automatik akan layak mewakili Malaysia ke acara Piala Monsun 2012," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tajaan RM100,000 oleh Felda Berhad bagi kejohanan itu di sini, yang disempurnakan Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Sirkit pertama MMRC diadakan di Lumut, Perak pada 11 hingga 13 Mei lepas manakala sirkit kedua berlangsung di Pulau Indah, Klang dari 29 Jun hingga 1 Julai lepas.

Sirkit terakhir akan diadakan di Pulau Duyong, Terengganu pada 28 hingga 30 November depan.

Selepas dua sirkit itu, Jeremy Koo dari Koo Racing Team mendahului dengan 50 mata diikuti Masyuri Rahmat (Royal Malaysian Navy Match Racing Team 1) dengan 41 mata.

Hazwan Hazim Dermawan (Permai Hotel Match Racing Team ) dan Harisfabillah Muhammad (Royal Malaysian Navy Match Racing Team 3) pula berkongsi kedudukan ketiga selepas masing-masing mengumpul 38 mata.

Mengulas Kejohanan Perahu Layar KFC-Felda Terbuka Johor 2012, Kamaruzzaman berkata, seramai 150 pelayar dijangka menyertai kejohanan itu, yang mempertandingkan empat kategori perlumbaan iaitu Optimist, Laser, International 420 dan Windsurfing.

Acara tahunan itu pernah diadakan di Pasir Layar, Tanjung Langsat, Pasir Gudang selama lapan tahun sejak 2003, dan mulai 2011, kejohanan tersebut berlangsung di Tajung Leman. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain