suria

Piala TPM: Siti Zubaidah Hadiah Kejayaan Raih Emas Kepada Bapa

BATU PAHAT: Pesilat kebangsaan, Siti Zubaidah Che Omar menyifatkan kejayaanya meraih pingat emas pada hari penutup Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebagai hadiah kepada bapanya Che Omar Murad yang menjadi orang pertama memperkenalkan seni silat kepadanya.

Siti Zubaidah yang beraksi dalam acara Puteri Antarabangsa D (kategori berat badan 60-65kg) menjadi salah seorang daripada penyumbang enam pingat emas kepada pasukan Insitut Pengajian Tinggi (IPT) negara setelah berjaya menewaskan pesilat Laos, Backam Poly dengan keputusan 5-0 kiraan mata pada hari terakhir kejohanan yang berlangsung di Pusat Membeli Belah Square One, Batu Pahat.

Lima lagi pingat emas negara disumbangkan Siti Rahman Mohamed Nasir bagi acara Puteri Antarabangsa E (kategori berat badan 65-70kg), Siti Humairah Kasidin Puteri Antarabangsa C (kategori berat badan 55-60kg), Nik Mohd Nor Rashdan Mohd Yusoff Putera Antarabangsa H (kategori berat badan 80-85kg), Wan Ammar Fikri Wan Ali Putera Antarabangsa F (kategori berat badan 70-75kg) dan Wan Izzadi Wan Ismail Putera Antarabangsa J (kategori berat badan 90-95kg).

"Ayah mula memperkenalkan seni silat kepada saya pada berumur 13 tahun lagi dan beliau adalah guru silat pertama saya. "Setiap kali ayah mengajar anak buahnya saya pasti akan bersama ayah dan lama kelamaan saya semakin minat dengan sukan silat," katanya kepada Bernama hari ini. Pesilat kelahiran Kedah ini berkata pingat emas yang diraih olehnya hari ini juga adalah hadiah kepada jurulatihnya, Mazlan Shaari yang banyak memberi tunjuk ajar kepada dirinya.

"Walaupun ini adalah kali kedua saya meraih pingat emas bagi Piala TPM ianya tidak bermakna bahawa saya telah sempurna sebaliknya banyak lagi perkara yang saya perlu pelajari daripada jurulatih dan rakan seangkatan yang lain," katanya.

Siti Zubaidah merupakan penyandang juara bagi acara tersebut dan pernah memenangi pingat emas pada edisi kedua Piala TPM 2011 di Pusat Membeli Belah Berjaya Time Square, Kuala Lumpur. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain