suria

Industri Sukan Berpotensi Jana Ekonomi & Pekerjaan Di Selangor - Abdul Khalid

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor melihat industri sukan berpotesi untuk menjana pendapatan negeri dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata masalahnya sekarang ialah sukan hanya dilihat sebagai suatu aktiviti sampingan bukannya satu peluang ekonomi yang berpotensi untuk dimanfaatkan.

"Umpamanya dalam industri pertanian, kita fokuskan kepada kelapa sawit sebagai produk global, begitu juga dengan sukan kita perlu fokus kepada sukan yang diminati dan ramai peminat serta pulangan yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif kepada kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2012 di sini, Sabtu.

Beliau berkata industri sukan boleh dibangunkan dan menjana pendapatan jika ia dibangunkan sebagaimana industri pelancongan yang membawa masuk jutaan pengunjung dan pulangan berbilion ringgit.

Abdul Khalid berkata industri sukan bukan hanya boleh mengeluarkan atlet bertaraf dunia tetapi ia juga memerlukan pengurus pasukan, pakar kesihatan dan makanan. Untuk ganjaran Sukma 2012, kerajaan negeri memberi ganjaran keseluruhan berjumlah RM872,000 kepada para pemenang.

Teh Wei Pin dari acara renang mendapat insentif tertinggi iaitu RM19,000, diikuti Lim Ching Hwang (RM18,000) dan Caroline Chan Zi Xin (RM13,000), kedua-duanya juga dari acara renang.

Pada Sukma 2012 di Pahang, Selangor muncul naib juara dengan membawa pulang 47 pingat emas, 54 pingat perak dan 60 pingat gangsa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain