suria

Selangor Tidak Perlekeh Cabaran Johor FC

KUALA LUMPUR: Juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor tidak mahu memperlekeh cabaran Johor FC yang muncul naib juara di belakang Lions XII ketika saingan Kumpulan A, apabila kedua-dua pasukan bertemu di peringkat suku akhir piala berkenaan.

Ketua pasukan Selangor, Safiq Rahim berkata pasukan itu tidak sabar membalas dendam di atas kekalahan menyakitkan di peringkat suku akhir Piala FA selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga masa tambahan, memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti yang dimenangi Johor FC 5-4 pada Mac lepas.

"Kami perlu mengambil kesempatan dengan baik kerana tiada peluang kedua dan kami perlu berhati-hati dan tidak tergesa-gesa dalam permainan," katanya pada sidang media di sini Jumaat.

Ditanya mengenai kritikan terhadap pasukannya baru-baru ini, Safiq berkata sebagai pemain profesional, rakan sepasukannya perlu menerima teguran tersebut secara positif dan memperbaiki prestasi untuk mencapai matlamat mereka.

Penyerang Selangor, Basko Balaban pula berharap penyokong pasukan itu akan turun beramai-ramai ke Pasir Gudang, Johor pada 25 September ini, kerana percaya sokongan mereka akan menyuntik semangat pemain.

"Pada masa ini, prestasi pasukan berada pada landasan yang baik dan walaupun undian suku akhir (bertemu Johor FC) bukannya mudah, kami yakin mencapai kemenangan pada perlawanan itu," katanya.

Selangor juga mendapat suntikan semangat baru dengan kembalinya bekas ketua pasukan Amri Yahyah yang sebelum ini, menjalani penggantungan tiga perlawanan selepas aksi menentang Kelantan dalam saingan Liga Super pada 29 Jun lepas.

Pasukan berkenaan kini berada di tahap terbaik selepas mencatat kemenangan dalam dua perlawanan terakhir untuk menduduki tempat teratas Kumpulan D dengan kemenangan 4-1 ke atas Pahang dan 2-0 menentang Sarawak. - BERNAMA

Artikel Lain