suria

Piala TPM: Pesilat Negara Uji Kemampuan Di Batu Pahat

BATU PAHAT: Pesilat elit negara, Siti Rahmah Nasir walaupun pertama kali bertanding di Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang sedang berlangsung di sini, menyasar untuk merangkul pingat emas.

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA edisi Palembang, Indonesia 2011 itu berkata kejohanan itu akan dijadikannya sebagai medan mengukur kemampuan dirinya sebelum menghadapi saingan Sukan SEA edisi Myanmar pada tahun depan.

Kejohanan tersebut adalah antara kejohanan penting baginya serta pesilat negara lain dalam mengukur tahap persedian masing-masing sebelum menghadapi Sukan SEA, katanya.

"Persaingan di sini agak mencabar kerana ianya turut disertai oleh pesilat dari negara Asean termasuk Indonesia, Brunei, Laos, Singapura, Vietnam dan Thailand yang turut sama mengambil bahagian di Sukan SEA di Myanmar tahun depan," katanya.

Siti Rahmah, 25, akan beraksi dalam acara akhir Puteri B Antarabangsa kategori berat badan 50-55kg pada Sabtu.

Sementara itu, seorang lagi pesilat elit negara, Siti Zubaidah Che Omar berkata banyak pengalaman baru yang dipelajari menurusi kejohanan itu.

"Saya berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana bersedia untuk menganjurkan kejohanan yang bukan hanya membantu pesilat baru malah turut sama membantu persedian pesilat kebangsaan bagi menghadapi persiapan awal ke Sukan SEA Myanmar pada tahun depan," katanya.

Pemenang pingat emas bagi skuad silat negeri Kedah bagi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi Pahang pada bulan Julai lalu itu berkata beliau berazam untuk berusaha secara bersungguh mendapat pingat emas bagi acara Putri D Antarabangsa bagi kategori berat badan 60-65kg yang akan berlangsung pada Sabtu.

"Saya tidak pasti sama ada terpilih untuk mewakili negara ke Sukan SEA Myanmar pada tahun depan, namun akan berusaha secara bersungguh-sungguh jika dipilih," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain