suria

Pengurusan Bola Sepak Negeri Diminta Bersikap Lebih Profesional - Shabery

KEMAMAN: Pengurusan bola sepak negeri termasuk pemain diminta melakukan proses transformasi dengan lebih bersikap profesional, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata aspek tersebut perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia adalah antara garis panduan yang ditetapkan badan induk bola sepak dunia, FIFA untuk memastikan sesuatu liga itu berada pada tahap yang tinggi.

Malah, katanya perlunya mereka yang terlibat dalam bola sepak tempatan menjadikan sukan itu sebagai industri tumpuan kerana pihaknya mendapati masih terdapat pengurusan bola sepak negeri yang ketandusan idea untuk penjenamaan semula pasukan masing-masing.

"Kita tiada pengurusan yang memikirkan bagaimana menonjolkan penjenamaan semula kepada nama-nama pasukan yang berkenaan kerana kebanyakannya diuruskan oleh orang yang mungkin sifatnya yang sesuai untuk zaman amatur dulu.

"Ia perlu dilihat ke depan...bagaimana menonjolkan nama kelab ataupun pasukan sebagai sesuatu yang dapat menarik dan mendidik orang ramai kerana kekuatan pada arena bola sepak ialah pada penonton ataupun penyokong," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kemelut yang melanda pengurusan dan pemain Terengganu dalam saingan Piala Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata penyokong merupakan tulang belakang kepada pengurusan bola sepak negeri yang perlu mengambil hati kumpulan berkenaan kerana mereka tetap setia menyokong arena bola sepak tempatan.

"Penyokong sanggup mengeluarkan wang memberikan sokongan kepada pasukan...bukannya untuk dapat tiket percuma, bukannya mendapat bantuan atau sebagainya.

"Jadi apa yang membuatkan penonton sanggup bayar ialah kerana komitmen mereka dan rasa sayang mereka serta prestasi baik yang ditunjukkan oleh pemain di atas padang," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain