suria

Laporan Kes Libatkan Tim.Presiden KOM Telah Siap

KUALA LUMPUR: Laporan salah laku membabitkan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim yang didakwa terlibat dalam kes enam atlet olahraga melarikan diri daripada ujian anti-doping tahun lepas, dikeluarkan pada Khamis.

Ketika mengesahkan perkara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar yang turut menerima salinan laporan kes tersebut berkata beliau bagaimanapun tidak boleh mendedahkan laporan berkenaan kerana ia di luar bidang kuasa badan induk sukan negara itu.

"Memang benar, saya menerima laporan tersebut namun saya belum membaca mengenai laporan penuh berkaitan kes itu kerana kes berkenaan adalah di bawah bidang kuasa KOM, maka kita tidak akan mencampuri urusan mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan bahawa beliau menerima salinan hasil laporan jawatankuasa siasatan bebas tersebut dan akan meminta pendapat daripada Anggota Majlis KOM esok, sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada (Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Datuk V.C George kerana bersetuju mengetuai jawatankuasa tersebut.

"Saya akan meneliti laporan tersebut esok sebelum meminta pendapat daripada ahli majlis kita (KOM)," katanya.

Ditanya sama ada laporan itu akan menggugat peluang Karim mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan KOM pada Ahad ini, Shahidan berkata beliau tidak akan memberi sebarang kenyataan sehingga meneliti laporan tersebut terlebih dahulu.

Karim bakal dicabar Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Selangor K.Yogeswaran untuk jawatan Timbalan Presiden KOM.

Pada 13 Februari lepas, jurulatih pecut negara, Hamberi Mahat yang mewakili 58 atlet dan jurulatih olahraga negara menghantar petisyen bertajuk 'Laporan dan Aduan Jurulatih dan Atlet Olahraga Kebangsaan kepada Presiden KOM'.

Petisyen setebal 11 muka surat itu yang ditandatangani kesemua 58 atlet dan jurulatih, antara lain meminta Karim disingkirkan daripada jawatannya selain memuatkan aduan dan keluhan jurulatih tempatan mengenai salah laku Karim.

Sehubungan itu, KOM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan untuk mengkaji kes tersebut dan mereka memilih MOM untuk mengetuai jawatankuasa tersebut bagi memastikan ketelusan dalam proses siasatan.

MOM kemudian melantik George yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan untuk mengetuai jawatankuasa berkenaan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain