suria

LTdL 2013 Diharap Tarik Lebih Banyak Penaja - Ahmad Shabery

PUTRAJAYA: Penganjuran kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013, yang akan diadakan mulai 21 Feb hingga 2 Mac tahun depan diharap dapat menarik lebih banyak penaja, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata walaupun LTdL 2013 menerima peruntukan sebanyak RM14 juta daripada kerajaan, namun ia tidak mencukupi dan sumbangan penaja perlu bagi menjayakan penganjuran jelajah berprestij itu.

"Kita mengharapkan lebih banyak penaja mengambil kesempatan ini kerana pulangan kepada pelaburan yang mereka berikan sangat berbaloi. "Melalui penajaan, nama mereka akan dibawa menjelajah ke seluruh negara terutama melalui jersi yang disarung oleh pelumba dan jenama mereka ini akan dipaparkan di internet dan stesen televisyen terkemuka, jadi mereka tak perlu bayar untuk waktu iklan," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Ahmad Shabery sebelum itu melancarkan imej dan pengumuman laluan LTdL 2013, yang bertemakan 'Kehangatannya Kembali' meliputi jarak sejauh 1,466.6km merentasi tujuh negeri.

Terdahulu dalam ucapannya Ahmad Shabery berkata untuk penganjuran LTdL 2012 lalu, sebanyak RM7.3 juta sumbangan penaja diperoleh dalam bentuk wang tunai dan barangan serta mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa.

"Sepanjang LTdL 2012, satu kaji selidik mendapati bilangan penonton yang berada di garis permulaan di sepanjang laluan dan garis penamat, meningkat kepada hampir sejuta orang berbanding 800,000 pada tahun 2011," katanya sambil menambah masyarakat kini semakin meminati sukan jelajah itu.

Justeru melalui promosi meluas, LTdL dijangka mampu memberi pulangan yang menguntungkan pihak penaja, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain