suria

Umar Mat Amin Juarai TCR 2012

KUALA TERENGGANU: Minat Umar Mat Amin terhadap sukan berbasikal sejak empat tahun lepas, berbaloi apabila menjuarai kategori terbuka lelaki 18-35 tahun Terengganu Century Ride (TCR) 2012 di sini Ahad.

Umar, 22, mewakili Team 1 Permai mencatat masa 3 jam 59 minit 22.68 saat, mengenepikan cabaran Abdul Arif Abdul Rahman daripada pasukan Roda Pantas yang mencatat 4:02:15.687s manakala pelumba pasukan Motour Pahang, Mohd Izazi Ismail di tempat ketiga dengan masa 4:02:15.741s.

Umar berkata, walaupun sibuk dengan tugas harian, beliau bersama rakan sepasukan tetap berkayuh sekurang-kurangnya tiga kali seminggu di sekitar daerah Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu bagi memantapkan kayuhan mereka.

"Bagi menghadapi TCR 2012, saya bersama rakan sepasukan mengambil masa dua minggu menjalani latihan intensif termasuk daripada aspek teknik berlumba," katanya ketika ditemui Bernama.

Mengenai TCR 2012 sejauh 160km itu, beliau berkata, laluan yang biasa digunakan semasa latihan di Hulu Terengganu dan Marang serta bantuan daripada rakan sepasukan membolehkan dirinya menjuarai perlumbaan tersebut.

Umar berkata, beliau mula meminati sukan berbasikal selepas menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu, Anuar Manan yang kini mewakili Champion System, berkayuh dalam satu perlumbaan kira-kira empat tahun lepas.

Sementara itu, Stephen Ong menjuarai kategori lelaki veteran 36-45 tahun dengan masa 3:59:24.232s manakala pelumba Roda Pantas, Md Paidi Abd Ghani dan Zulhikmi Zali @ Mat Tahir yang mewakili pasukan PUO Cycling, masing-masing di tempat kedua serta ketiga dengan masa 4:02:17.578s dan 4:02:44.023s.

Shaharin Razali pula memenangi kategori lelaki senior veteran 46 tahun ke atas dengan masa 4:02:17.052s, menumpaskan M Manoop daripada pasukan Meeasang Bike Sg Golok di tempat kedua dengan masa 4:03:03.992s manakala Baharin Yusof mewakili Pasukan Berbasikal Bukit Besar di tempat ketiga dengan masa 4:03:24.789.

Kategori wanita terbuka 18 tahun ke atas menyaksikan pasukan Cyclekakis dari Singapura menguasai tiga tempat teratas kategori itu.

Marina Chen muncul juara dengan catatan masa 4:44:08.089s diikuti Diana Tan 5:14:49.457s dan Nina Wan yang merekodkan 5:28:55.865s.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat melepaskan lebih 600 pelumba yang menyertai perlumbaan itu dan menyampaikan hadiah kepada pemenang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umar Mat Amin Juarai TCR 2012

Artikel Berikut

Artikel Lain