suria

Thailand Benam Malaysia 4-0 Pada Kejohanan Bola Sepak Wanita AFF

KUALA LUMPUR: Skuad wanita negara tumpas 0-4 kepada Thailand dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Wanita Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh City, Vietnam, Jumaat.

Junpen Seeraum membuka jaringan pasukan Gajah Putih itu pada minit ke-10 selepas menerima hantaran Sunisa Srangthaisong, kata AFF seperti yang dipetik dalam laman web www.aseanfootball.org.

Skuad Malaysia di bawah bimbingan Jacob Joseph berusaha melancarkan serangan balas namun jentera tengah lawannya itu kebal untuk ditembusi, sebaliknya Thailand berjaya menambah jaringan pada minit ke-31 menerusi Nisa Romyen.

Wilaiporn Boothduang menambah derita pasukan Malaysia apabila menjaringkan gol ketiga Thailand pada minit ke-75 sebelum Chidtawan Chawong melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya itu, enam minit kemudian.

Skuad negara berpeluang mendapatkan gol saguhati pada masa kecederaan apabila dihadiahkan penalti namun penyerang Lovelytha Jelus gagal menyempurnakannya apabila sepakannya terus ke penjaga gol Thailand Waraporn Boonsing.

Kekalahan itu adalah yang kedua buat pasukan Malaysia berdepan dengan Thailand apabila sebelum ini, mereka dibelasah 1-8 oleh lawan yang sama pada kejohanan edisi 2011 di Laos.

Malaysia akan menamatkan saingan Kumpulan B bertemu Laos pada Ahad ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain