suria

Lapan Pasukan Sahkan Tiket Ke Suku Akhir Piala Malaysia

KUALA LUMPUR: Lapan pasukan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelantan, Lions XII, Johor FC, Negeri Sembilan, Felda United, Selangor dan Pahang mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Malaysia selepas berakhirnya perlawanan peringkat kumpulan masing-masing.

Juara Liga Super musim ini, Kelantan berpesta gol selepas membelasah jiran mereka, Terengganu 6-1 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu untuk mengiringi ATM yang terlebih dahulu mengesahkan tiket ke suku akhir dalam kumpulan B.

Enam gol pasukan 'The Red Warriors' dijaringkan oleh pemain pinjaman dari Kuala Lumpur, Mohd Afiq Azmi pada minit ke-13, Norfarhan Muhammad (minit ke-28 dan 47), kapten pasukan, Mohd Badri Mohd Radzi (minit ke-75 dan 83) dan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-85.

Terengganu memperolehi gol saguhati menerusi jaringan Hasmizan Kamarodin pada minit ke-79. ATM yang muncul juara Liga Perdana musim ini hanya mencatatkan keputusan seri 2-2 ketika menentang Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Dalam saingan Kumpulan C, penyandang juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan dan Felda United mengesahkan slot ke suku akhir walaupun sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Farderin Kadir pada minit ke-17, namun Felda United berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-76 menerusi Jean Emmanuel Effa Owana.

Negeri Sembilan dan Felda United layak selepas masing-masing mengumpul 10 dan tujuh mata berbanding dua pasukan lagi iaitu Perak dan Sime Darby yang berkongsi enam mata untuk menghuni tangga ketiga dan terakhir kumpulan tersebut.

Dalam saingan kumpulan A, dua pasukan pilihan iaitu Lions XII dan Johor FC layak ke suku akhir walaupun sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan Stadium Jalan Besar, Singapura.

Juara Piala Malaysia edisi 1992 iaitu Pahang dan juara 32 kali, Selangor turut mara ke suku akhir walaupun mengalami nasib berbeza.

Pahang tewas 2-3 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, manakala Selangor mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Sarawak di Stadium Shah Alam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain