suria

Skuasy Terbuka Malaysia: Wee Wern Tempah Tiket Ke Separuh Akhir

PETALING JAYA: Pemain skuasy negara, Low Wee Wern mara ke separuh akhir selepas menewaskan pemain England, Jenny Duncalf, 11-7,11-5,11-8 pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2012, yang berlangsung di Mutiara Damansara, Khamis.

Wee Wern yang turun sebagai pemain kedua negara mempamerkan aksi bertenaga mengutip mata ke atas pemain yang berada di ranking ke-4 dunia itu.

"Saya gembira dapat menewaskan pemain hebat seperti Jenny. Dia bermain secara rali panjang, namun saya dapat membaca corak permainannya.

"Kali terakhir menang ke atas Jenny pada Terbuka Hong Kong tahun lalu, dan hari ini saya gembira mengalahkan dia," jelasnya selepas perlawanan.

Pada aksi separuh akhir esok (Jumaat), pemain yang kini berada di ranking ke-10 dunia akan berdepan dengan jaguh Mesir, Raneem El Weleily.

"Raneem pemain yang bagus dan mempunyai bakat tersendiri.

"Saya akan cuma bermain dengan baik esok dan ia dianggap satu bonus kerana dapat beraksi dalam pusingan ini di tempat sendiri.

"Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati dengan prestasi saya sepanjang minggu ini dan akan cuba mengekalkan rentak itu," jelasnya.

Tambah Wee Wern,22, dia juga gembira dengan perubahan ranking dunia dari kedudukan sebelas ke-10 dunia.

"Saya teruja kerana kini berada dalam kelompok sepuluh teratas.

"Bagi saya jika ingin berada dalam kedudukan lebih tinggi, kamu perlu bermain dengan pemain yang lebih baik," katanya.

Artikel Sebelum

Zulfahmi Positif Di San Marino

Artikel Berikut

Artikel Lain