suria

Nicol, Nafiizwan Mara Ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy negara, Datuk Nicol Ann David terpaksa berhempas pulas sebelum menempah tiket ke suku akhir selepas menewaskan pemain Australia, Donna Urquhart, 11-6, 8-11, 11-8, 11-7 pada aksi pusingan kedua Kejohanan skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2012, Rabu.

Juara bertahan tujuh kali kejohanan ini menewaskan Urquhart dalam tempoh 50 minit sebelum sah ke aksi suku akhir yang akan berlangsung di The Curve esok (Khamis).

"Permainan agak sukar kerana masing-masing cuba mengutip mata dan dalam masa sama ada melakukan kesilapan.

"Saya tumpas di set kedua. Bagaimanapun saya berjaya mengambil kesempatan di atas kesilapan yang dilakukan Urquhart di set seterusnya.

"Dia betul-betul memberi cabaran pada aksi ini," ujar pemain nombor satu dunia ini. Pada aksi suku akhir nanti, Nicol bakal berentap dengan pemain Hong Kong, Annie Au di gelanggang kaca.

Sementara itu, Mohd. Nafiizwan Adnan yang beraksi secara wild card mara ke pusingan suku akhir selepas Andrian Grant. Nafiizwan menewaskan pemain England itu dengan catatan 9-11, 5-11, 11-9, 11-4, 13-11 dalam saingan yang berlangsung selama 96 minit.

"Permulaan yang agak perlahan dan saya hanya mendapat rentak terbaik saya pada set ketiga permainan.

"Saya menukar strategi dan bermain seperti saya berlatih, dan itu memberi kelebihan untuk saya menewaskan Grant," katanya. Pemain yang berada di ranking ke-31 dunia ini akan bertemu Tarek Momen dari Mesir.

"Saya hanya mahu fokus dengan permainan saya dan akan cuba melakukan yang terbaik," jelasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain