suria

Skuasy Terbuka Malaysia: Wee Wern Mara Ke Pusingan Kedua

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara, Low Wee Wern berjaya mara ke pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2012 selepas menewaskan pemain Mesir, Salma Hany, 11-5,11-3,11-7 pada aksi pertama di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Selasa.

Wee Wern yang kini berada di ranking ke-11 dunia mengambil masa 22 minit untuk menewaskan Salma.

"Saya berpuas hati dengan permainan pertama hari ini, dapat mengawal gelanggang dengan baik.

"Salma juga cuba memberi saingan baik dan pertama kali bermain dengannya.

"Dua tahun lalu, saya hanya melihat dia beraksi dan hari ini kami bertemu," katanya selepas perlawanan.

Menurut Wee Wern, pada aksi kedua nanti, dua akan bertemu dengan Madeline Perry dari Ireland.

"Saya tidak pernah menang dengan Perry sebelum ini dan harap dapat mengekalkan rentak permainan seperti hari ini," katanya.

Sementara itu, tiga lagi pemain negara gagal meneruskan aksi ke pusingan kedua, selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Vanessa Raj tewas 3-11,5-11,4-11 kepada pemain nombor dua dunia, Raneem El Weleily dari Mesir.

"Saya cuba bermain dengan baik, namun ia agak sukar.

"Saya mengamggap perlawanan ini sebagai pendedahan dan akan terus berlatih meningkatkan permainan selepas ini," jelasnya kepada MStar Online.

Turut terkeluar ialah Delia Arnold yang tewas kepada Madeline Perry (11-2,11-5,11-4).

Manakala seorang lagi pemain negara, Siti Munirah Jusoh kalah kepada pemain nombor 12 dunia dari Perancis, Camille Serma, 11-8,11-4,11-4.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain