suria

Juara Siri Dunia MTB Maraton UCI Sertai LIMBC 2012

Aksi Thum yang kini bergelar pelumba nombor satu maraton dunia.
Aksi Thum yang kini bergelar pelumba nombor satu maraton dunia.
Aksi Thum yang kini bergelar pelumba nombor satu maraton dunia.

KUALA LUMPUR: Steffen Thum, juara keseluruhan siri dunia MTB maraton UCI 2011-2012, dijangka mencuri tumpuan pada edisi ketiga Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) 15-20 Oktober ini.

Thum akan ditemani rakan senegaranya dari Jerman, Simon Gegenheimer yang menduduki tangga keempat keseluruhan siri MTB maraton UCI, sebagai dua wakil pasukan Ultra Sports Rose Racing yang dijangka mampu mencabar juara bertahan Karl Platt dan jaguh Olimpik dari Afrika Selatan, Burry Stander.

Thum, 28, dan Gegenheimer, 23, teruja dengan peluang menamatkan musim yang cukup mencabar di Langkawi.

“Peluang menamatkan musim di Langkawi, antara destinasi tercantik di dunia, cukup menyeronokkan. Kami bersedia menyahut cabaran LIMBC,” kata Thum.

Thum tidak syak lagi antara pelumba paling konsisten dalam siri maraton sepanjang 2011-2012, dengan rekod cemerlang menyelitkan diri di kalangan 25 pelumba terbaik setiap perlumbaan.

Dia menduduki tangga ke-12 di perlumbaan di Ornans, Perancis, juga ke-12 di Roc d’Azur selain menduduki tangga kedua di Lovran, Croatia, baru-baru ini dalam laluan dinobat selaku pelumba No 1 maraton MTB dunia.

“Ini musim yang cemerlang buat kami secara berpasukan. Dua tahun lalu kami memutuskan untuk mewujudkan pasukan MTB profesional yang berteraskan semangat sepasukan. Memang impian kami memberi tumpuan kepada perlumbaan siri Piala Dunia dan Maraton UCI,” tambahnya.

Gegenheimer yang menduduki tangga ke-6 senarai ranking dunia dianggap antara pakar pecut terbaik di peringkat antarabangsa.

Dia dijangka menguasai laluan jarak dekat LIMBC 2012 berasaskan rekod selaku juara Jerman dan kejayaan tangga ketiga Piala Dunia di Houffalize dan Offenburg.

Penyertaan kedua-dua pelumba Jerman itu mengundang keterujaan penganjur yang juga ketua eksekutif Human Voyage Sdn Bhd, Datuk Malik Mydin.

“Kehadiran Thum selaku pelumba unggul maraton MTB adalah satu penghormatan buat LIMBC. Tentu sekali aksi Steffen dan Simon dinanti-nantikan. Saya yakin kategori lelaki terbuka bakal menjadi saingan hebat,” kata Malik.

Edisi ketiga LIMBC menawarkan jumlah hadiah wang tunai AS$125,000 (RM400,000) dan terbuka kepada empat kategori – Terbuka Lelaki (19-39 tahun), Terbuka Wanita (19 tahun ke atas), Masters Lelaki (40-49 tahun) dan Masters Lelaki Senior (50 tahun ke atas).

LIMBC 2012 akan bermula dengan acara prolog ujian masa di Dataran Lang, pada Isnin 15 Oktober, disusuli Peringkat Pertama, perlumbaan sekitar pulau sejauh 65km,. Peringkat Kedua ialah perlumbaan sejauh 45km dari timur ke barat Langkawi, diikuti Peringkat Ketiga perlumbaan maraton 87km.

Peringkat Keempat perlumbaan merentas desa Olimpik di GeoPark Langkawi dan disudahi Peringkat Kelima sirkit jarak dekat Pantai Kok.

Jambori di Kuah pada 14 Oktober adalah pembuka tirai kepada LIMBC 2012. Layari www.mtbmalaysia.com untuk maklumat lanjut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain