suria

PBSNT Disaran Cari Pemain Baru Berkualiti Hadapi Musim Depan

KUALA TERENGGANU: Berdasarkan prestasi skuad Penyu yang kian merosot, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) disaran mencari pemain baru yang lebih berkualiti bagi menghadapi saingan musim depan.

Penyokong pasukan Terengganu, Arifin Musa, 50, berkata, PBSNT perlu melakukan sesuatu bagi membersihkan imej skuad kendalian Peter James Butler itu dan memastikan pasukan itu terus mendapat sokongan daripada kerajaan negeri.

Beliau yang berasal dari Bukit Payong, Marang, berkata PBSNT wajar mengambil langkah awal mengenal pasti senarai pemain baru yang berkualiti untuk diserapkan dalam pasukan Terengganu.

"Ini sesuai dengan saranan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang mahukan Terengganu mencari pemain berkualiti.

"Beliau (Menteri Besar) sendiri pernah berkata masalah gaji tidak timbul asalkan pemain itu benar-benar bagus dan mampu membantu Terengganu mencapai kejayaan. Kita harap PBSNT guna peluang ini sebaiknya bagi menebus kembali reputasi yang tercalar," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Pengurusan PBSNT dijangka bermesyuarat pada Isnin depan, selepas tamat saingan kumpulan dalam Piala Malaysia, bagi membincangkan beberapa perkara penting berhubung hala tuju dua pasukan dari Terengganu.

T-Team, pasukan berstatus kelab yang kini berdepan amaran akan dibubarkan serta Terengganu yang mengalami masalah disiplin di antara pengurusan dan pemain, masing-masing terkandas dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia meskipun masih berbaki satu perlawanan pada Jumaat ini.

Seorang lagi penyokong setia Terengganu, Awang Salleh, 29, berkata sebagai peminat beliau sentiasa memberi sokongan kepada pasukan negeri itu, tidak kira dalam apa situasi pun.

"Ini kerana kita sayang pasukan kita dan pengurusan pasukan pun, kenalah sayang kepada kita (penyokong)," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain