suria

Revington Hadapi Dua Tugas Besar Bimbing Skuad Hoki Negara

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki negara yang baharu Paul Revington, diberi dua indeks prestasi utama (KPI) iaitu meletakkan Malaysia pada kedudukan 10 terbaik dunia dan melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Rio, Brazil pada 2016.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata beliau yakin dengan kemampuan Revington membimbing skuad hoki negara berdasarkan pengalaman beliau sebagai jurulatih antarabangsa di beberapa buah negara sebelum ini.

"Dengan adanya jurulatih baharu ini, prestasi skuad hoki kebangsaan mampu dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi lagi," katanya kepada Bernama.

Revington menggantikan Tai Beng Hai yang dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan MHC dan diberi tugas menyelia program pembangunan remaja.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Revington sebelum ini adalah membawa Afrika Selatan menduduki ranking ke-10 dunia serta layak ke Sukan Olimpik 2004 Athens, Piala Dunia dan Sukan Komanwel 2006.

Beliau juga pernah memenangi anugerah Jurulatih Terbaik Dunia FIH 2011. Tengku Abdullah berkata, dua tugas terdekat menanti Revington ialah membimbing skuad negara menghadapi International Hockey Federation (FIH) Champions Challenge 1 di Doha, Qatar November ini dan Kejohanan Hoki Piala Asia di Singapura tahun depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain