suria

Faridul Terlepas Pingat Gangsa

LONDON: Atlet elit olahraga paralimpik negara Faridul Masri terlepas peluang meraih pingat gangsa, dan sekadar berpuas hati di tempat keempat pada temasya Sukan Paralimpik London di sini, Sabtu.

Acara merejam lembing lelaki F54/55/56 (berkerusi roda) yang berlangsung di Stadium Olimpik, Stratford dekat sini, menyaksikan Faridul mencipta rekod baru Sukan Para Asia dengan jarak 36.78 meter. "Saya sangat puas hati dengan jarak yang saya lakukan, tetapi bila acara ini menggabungkan tiga kategori kecacatan, sukar untuk mendapat markah yang lebih tinggi.

"Sedih juga sebab tidak dapat raih pingat pada Sukan Paralimpik terakhir saya. Lapan tahun saya tunggu peluang ini, tapi saya reda dengan keputusan ini.

"Jarak lebih 36 meter ini adalah satu peningkatan yang baik bagi saya. Saya akan teruskan usaha saya lagi untuk menghadapi Sukan Para Asia (Incheon, Korea Selatan 2014) pula," kata atlet berusia 31 tahun itu kepada Bernama.

Faridul, yang berasal dari Sungai Besar, Selangor, melayakkan diri buat pertama kali ke Sukan Paralimpik selepas kecewa tidak dapat beraksi di Athens, Greece (2004) dan Beijing, China (2008).

"Melayakkan diri ke Sukan Paralimpik secara merit adalah satu pencapaian yang membanggakan saya, dan hari ini, bila dapat buat rejaman terbaik, ia beri semangat untuk terus berikan yang terbaik," katanya.

Beliau juga berkata latihan penyesuaian yang dijalankan sepanjang berada awal di sini banyak membantu.

Pencapaian terbaik Faridul ialah pingat emas Kejohanan Olahraga Paralimpik Terbuka Malaysia pada April lepas dengan rejaman sejauh 33.88 meter.

Penggabungan kategori kecacatan oleh pihak Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) itu menyaksikan dominasi atlet kategori F54, di mana pingat emas dimenangi Luis Alberto Zepeda Felix dari Mexico, yang membuat rejaman sejauh 28.07m dengan mendapat 983 mata.

Jika kategori kecacatan tidak digabung, rejaman yang dilakukan Faridul membolehkan beliau menghadiahkan pingat emas untuk negara.

Dalam kategori F56, atlet itu mendahului lima peserta lain.

KEPUTUSAN

EMAS: Luis Alberto Zepeda Felix (MEX) - 28.07m (983 mata)

PERAK: Alexey Kuznetsov (RUS) - 27.87m (980 mata)

GANGSA: Manolis Stefanoudakis (GRE) - 27.37m (973 mata)

4. Faridul Masri (MAS) - 36.78m (943 mata)

-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain