suria

Terengganu Guna Khidmat Jurulatih China Dalam Lima Acara Sukan Di Sukma

KUALA TERENGGANU: Terengganu akan menggunakan khidmat jurulatih dari China untuk melatih atlet negeri itu dalam lima acara sukan menembak, renang, terjun, wushu dan gimnastik pada Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur tahun depan dan Perlis pada 2014.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, Zainal Abidin Hussin berkata pihaknya kini dalam proses mengenal pasti jurulatih dari negara berkenaan dalam usaha menjadikan atlet Terengganu sebagai yang terbaik di negara ini.

"Kita sedang mendapatkan maklumat jurulatih yang berpotensi sebelum berlepas ke China untuk melakukan rundingan dan melihat sendiri sesi latihan yang mereka kendalikan di sana.

"Kita memilih jurulatih dari China berdasarkan pencapaian mereka di Olimpik London baru-baru ini yang membuka mata seluruh dunia terhadap keberkesanan teknik latihan serta jurulatih mereka," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri MSN Terengganu di Gong Badak dekat sini, Khamis.

Beliau berkata pihaknya juga dalam perancangan mencari jurulatih dari Thailand bagi acara sukan Muay Thai yang akan diperkenalkan buat pertama kali pada Sukma di Kuala Lumpur.

Zainal Abidin berkata Terengganu turut akan mengambil bahagian dalam satu lagi acara baharu di Sukma Kuala Lumpur iaitu 'wood ball', sejenis sukan padang yang mirip kepada acara kriket dan sedang mengenal pasti atlet berbakat bagi acara tersebut.

Beliau juga yakin dengan kemampuan atlet Terengganu dalam sukan akuatik terutamanya bagi acara terjun.

"Atlet kita mempunyai kelebihan kerana Terengganu di kelilingi dengan kemudahan semula jadi yang banyak iaitu sungai dan pantai malah mereka mempunyai sifat keberanian yang tinggi.

"Kita juga telah mendapat maklum balas yang positif daripada seorang aktivis sukan yang sanggup bekerjasama menyediakan kemudahan dalam usaha melahirkan atlet akuatik setanding dengan penerjun negara, Pandelela Rinong," katanya.

Sukma ke-16 di Kuala Lumpur bakal berlangsung dari 28 Jun hingga 7 Julai tahun depan, melibatkan 19 acara sukan. - BERNAMA

Artikel Lain