suria

Terbuka Tenis Malaysia: Pasangan Beregu Jadi Taruhan Negara

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu tenis negara, Mohd Assri Merzuki dan Si Yew Ming pastinya menjadi taruhan utama negara pada aksi edisi keempat Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia Jelajah Dunia ATP yang bakal berlangsung pada 24 hingga 30 September ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM), Ibrahim Yusof Abubakar, kedua-dua pemain ini mempunyai kelebihan masing-masing dalam kategori beregu.

"Pasangan ini akan terus bermain dalam undian utama dan tidak perlu beraksi dalam pusingan kelayakan terlebih dulu.

"Ianya berbeza dengan saingan perseorangan yang perlu bermain sekurang-kurangnya tiga perlawanan sebelum ke aksi utama," katanya kepada media selepas taklimat media mengenai kejohanan ini pada Khamis.

Ibrahim berkata, Assri dan Yew Ming adalah pemain berpengalaman yang mampu memberi saingan kepada pasukan lawan nanti.

"Assri kini sedang beraksi di Turki. Sebelum itu dia telah menyertai sirkit kejohanan tenis yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Manakala Yew Ming juga pernah beraksi pada kejohanan ini.

"Mereka telah layak beraksi secara wild card bersama dua lagi pemain perseorangan, Ariez Elyas Deen Heesham.

"Ia dianggap peluang keemasan kepada semua pemain negara untuk beraksi dengan pemain-pemain terbaik dunia sekaligus mampu memberi pengalaman berguna kepada mereka.

"Selain itu, pihak kami juga gembira kerana mendapat kelonggaran untuk tiga pemain secara wild card dalam acara perseorangan berbanding tahun sebelum ini hanya dua orang," katanya.

Selain itu, Pengarah Kejohanan, Nick Freyer berkata, sehingga kini 19 pemain dunia telah mengesahkan aksi mereka di sini.

"Tiga pemain wild card akan diumumkan selepas tamat Kejohanan Terbuka Tenis Amerika Syarikat yang kini sedang berlangsung di New York.

"Namun pemain kelima dunia dari Sepanyol, David Ferrer sah di sini beraksi biar pun masih lagi bekerja di New York.

"Selain Ferrer, beberapa pemain handalan dunia lain termasuk Juan Monaco (Argentina), Alexandr Dolgopolov (Ukraine) serta Kei Nishikori dari Jepun akan turut sertai kejohanan ini," katanya.

Artikel Lain