suria

SIC Sasar 70,000 Penonton GP Motosikal Malaysia 2012

KUALA LUMPUR: Penganjur dan penaja Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menetapkan sasaran yang belum pernah dibuat sebelum ini iaitu 70,000 penonton pada hari perlumbaan edisi ke-22 kejohanan itu dari 19 hingga 21 Oktober ini, di Litar Sepang.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata pihaknya yakin mencapai sasaran itu kerana pelbagai aktiviti termasuk konsert oleh artis tempatan dan antarabangsa diadakan bagi menarik lebih ramai penonton datang ke litar berkenaan.

"Pada tahun lepas, kami hanya berjaya menarik 65,000 penonton tetapi tahun ini kita berharap mencapai 70,000 penonton terutama pada hari perlumbaan.

"Tarikan utama kami pada kejohanan tahun ini adalah terhadap pelumba tempatan Mohd Zulfahmi Khairuddin yang akan bersaing dalam kategori Moto3 dan saya percaya peminat Malaysia tidak sabar melihat aksi beliau di depan mata mereka sendiri," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kejohanan itu, di sini malam Selasa.

Perlumbaan tahun ini juga akan menyaksikan bank tempatan terbesar, Maybank sebagai salah satu rakan kongsi utama dalam membantu penjualan tiket di rantau ini.

Mengenai langkah keselamatan yang dilakukan SIC pada kejohanan tahun ini, Razlan berkata semua pegawai perlumbaan dan perubatan telah menjalani latihan intensif di bawah bimbingan pakar keselamatan yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam sukan permotoran sejak April lepas.

"Insiden yang melibatkan Marco Simoncelli tahun lepas tiada kaitan dengan keadaan litar tetapi kita melihat kejadian tragis ini untuk kita menaik taraf keselamatan di sekitar litar," katanya.

Kejohanan tahun lepas menyaksikan insiden tragis yang mana Simoncelli, penunggang Itali berusia 26 tahun itu, maut selepas terjatuh pada pusingan ketiga perlumbaan.

Sementara itu, Mohd Zulfahmi tidak meletakkan sasaran khusus pada penampilan keempatnya tahun ini.

Beliau sebelum ini pernah bersaing menerusi tiket wildcard dalam kejohanan Moto GP 2009, namun hanya menduduki tempat ke-20, ke-16 pada 2010 dan ketujuh musim lepas.

"Saya tidak meletakkan sasaran untuk penampilan pada kali ini namun saya mengharapkan dapat meraih keputusan lebih baik," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain