suria

Ragbi: Misi Julang Trofi Di Sri Lanka

PETALING JAYA: Jurulatih ragbi Bawah 19 tahun negara, Mohd Ramli Saad menaruh keyakinan tinggi terhadap anak buahnya untuk membawa balik trofi Kejohanan Ragbi Remaja Asia Divisyen 2 ARFU B-19 Tahun yang akan berlangsung pada 12 hingga 15 September ini di Colombo, Sri Lanka.

Mohd Ramli berkata, pemain-pemainnya sudah menjalani latihan intensif sejak tiga bulan lalu dan fasa terakhir minggu ini menyaksikan seramai 26 orang pemain telah dipilih.

"Walaupun pada mulanya ada sedikit masalah berkaitan dengan pemain-pemain yang tidak dapat sertai latihan kerana berdepan dengan peperiksaan, tetapi pada latihan terakhir, mereka telah memberikan komitmen yang baik.

"Secara keseluruhannya, saya yakin dengan kemampuan mereka pada aksi minggu depan.

"Bukan saya sahaja yang melihat mereka mampu melakukan kejutan, tetapi Presiden COBRA (Tommy Pereira) juga turut mengakui bahawa pasukan ini telah banyak peningkatan yang positif," kepada media, Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Ramli juga mengakui saingan untuk bergelar juara adalah sama rata.

"Tahun lalu kami tewas kepada pasukan Taiwan pada aksi awal dan salah satu faktornya adalah saiz fizikal yang agak berbeza, lebih-lebih lagi di bahagian serangan.

"Namun tahun ini, kami telah menyediakan pemain-pemain yang fizikalnya lebih kurang sama dengan pasukan lain.

"Tahun ini juga kami akan bertemu Taiwan pada perlawanan pertama dan harapnya semua pemain boleh tebus kembali kekalahan tahun lalu," katanya.

Sebanyak empat pasukan akan beraksi pada Kejohanan tahun ini termasuk Malaysia, Taiwan, Sri Lanka dan Singapura.

Pasukan yang menjadi juara akan mara ke Divisyen 1 secara automatik, manakala pasukan paling bawah akan bermain dalam Divisyen 3.

Artikel Lain