suria

Pemergian Hamzah Kehilangan Sentimental Kepada MSN - Zolkples

LONDON: Arena sukan negara kehilangan seorang tokoh pemimpin sukan yang tiada tolok-bandingannya berikutan kematian Tan Sri Hamzah Abu Samah, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

"Ia satu kehilangan besar buat dunia sukan tanah air. Semasa hayatnya, Allahyarham Tan Sri Hamzah adalah seorang pemimpin berpengaruh dalam dunia sukan.

"Allahyarham juga adalah seorang tokoh yang disegani baik di dalam mahupun di luar negara. Kehilangan beliau amat sentimental buat MSN kerana melalui Allahyarham, wujudnya Majlis Sukan Negara," katanya.

Hamzah yang merupakan Presiden Seumur Hidup Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Staffield Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan pada Selasa.

Zolkples berkata penubuhan MSN dicetuskan oleh Allahyarham Hamzah ketika beliau menyandang jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dari 1971 hingga 1973.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Shapawi Ismail pula menyifatkan pemergian Allahyarham Hamzah sebagai kehilangan seorang 'negarawan sukan'.

"Semasa hayatnya, kita boleh ibaratkan Allahyarham sebagai tapak atau asas kepada pembangunan sukan di negara ini. Saya melihat ketokohan beliau amat kuat dalam membangunkan sukan negara dan layak digelar Negarawan Sukan.

"Selain melibatkan diri secara aktif dalam politik, Allahyarham juga aktif dalam menerajui banyak cabang sukan selain MSN dan MOM, bahkan juga banyak persatuan sukan di Malaysia," katanya.

Ahmad Shapawi berkata sepanjang penglibatan Allahyarham dalam sukan, beliau telah memainkan peranan penting baik di peringkat tempatan ataupun antarabangsa.

Allahyarham pernah menjawat jawatan sebagai Presiden Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) dari 1978 hingga 1994 dan Presiden Kehormat AFC selepas itu.

Selain itu, beliau pernah menjadi Naib Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dari 1982-1990 dan ahli kehormat seumur hidup Jawatankuasa Eksekutif badan induk bola sepak antarabangsa itu.

Allahyarham mengambil alih jawatan Presiden MOM daripada Tun Abdul Razak Hussein pada 1976 dan berkhidmat sehingga 1998 sebelum kalah kepada penyandang sekarang, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Selain itu, Allayarham juga pernah menjadi presiden kepada beberapa persatuan sukan tempatan seperti Persatuan Kriket Malaysia dari 1969-1991, Persatuan Bolasepak Malaysia (1976-1984) dan Persatuan Taekwondo Malaysia (1987-1999). - BERNAMA

Artikel Lain